PONTIAN: Sepasang suami isteri warga Indonesia ditahan polis di kawasan Kampung Parit Haji Yassin, Benut di sini petang semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah dan migran.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun bersama pasangannya yang berusia 35 tahun itu ditahan menerusi Op Pintas/Tapis yang dibuat pihaknya pada pukul 1.20 petang.
Katanya, suspek lelaki disyaki berperanan sebagai tekong darat, manakala isterinya ditahan di bawah kesalahan Imigresen.
“Dalam operasi itu, polis merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, satu beg sandang, satu beg plastik hitam serta satu paket lutsinar berisi 500 biji pil disyaki pil ekstasi dengan anggaran berat 184.54 gram.
“Selain itu, polis juga merampas satu paket lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 231.77 gram dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM61,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, ujian urin terhadap kedua-dua suspek turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012; Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – UTUSAN









