PETALING JAYA: Ringgit didagangkan di bawah paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama dalam tempoh hampir lapan tahun manakala harga emas pula mencatat rekod baharu melepasi AS$5,000 (RM20,017.30) seauns atau RM644 segram.
Semalam, mata wang tempatan dibuka tinggi berbanding dolar AS pada 3.9750/9800 berbanding 4.0020/4.0080 pada Jumaat, sebelum mengukuh pada 3.9660/9710 di akhir dagangan.
Ringgit kali terakhir diniagakan pada paras yang sama adalah pada 24 Mei 2018 apabila ia mencecah RM3.9797 berbanding dolar AS.
Lonjakan itu menjadikan ringgit kekal sebagai mata wang berprestasi terbaik Asia setakat Januari susulan dua tahun prestasi cemerlang di rantau ini.
Emas pula naik 2.25 peratus kepada AS$5,091.90 (RM20,385.20) seauns atau RM655.36 segram pada pukul 4 petang semalam.
Harga emas meningkat lebih 17 peratus setakat tahun ini manakala bagi tahun lepas, logam berharga itu mencatatkan pengukuhan 64 peratus. Ini kerana disokong oleh permintaan berterusan terhadap aset selamat, pelonggaran dasar monetari AS serta aliran masuk rekod ke dana dagangan bursa (ETF).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi mata wang tempatan itu didorong campur tangan kerajaan Jepun dan Rizab Persekutuan (Fed) AS dalam pasaran mata wang bagi mengukuh nilai yen disebabkan situasi mata wang Jepun yang melemah minggu lalu.
“Ini bererti nilai mata wang dolar AS dijangka akan terus merosot akibat tindakan ini. Perkara ini dilihat telah memberi impak positif kepada ringgit kerana mata wang ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS.
“Selain itu, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif juga telah menarik minat para pelabur untuk membeli instrumen kewangan dalam pasaran bon dan ekuiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, kenyataan Goldman Sachs yang dikeluarkan mengesyorkan belian ringgit dan jualan dolar Singapura, berikutan jangkaan mata wang tempatan akan menunjukkan prestasi lebih baik di Asia.
“Ini memberi isyarat bahawa Malaysia kini dilihat oleh institusi global sebagai negara yang mencatat prestasi relatif lebih kukuh di rantau ini, bukan sekadar kisah pemulihan kitaran semata-mata.
“Naratif ringgit juga telah beralih daripada bergantung kepada dasar Fed AS kepada dipacu oleh asas domestik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pasaran kini menilai Malaysia kurang sebagai ‘proksi China’ dan lebih sebagai hab pembuatan berkaitan semikonduktor serta AI selain penerima manfaat daripada penstrukturan semula rantaian bekalan global.
“Pasaran turut melihat Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai konsisten, tidak reaktif dan berdisiplin, ini ditafsirkan bahawa dasar monetari tidak lagi dianggap sebagai sumber risiko pertukaran asing (FX). Konsistensi dasar kini dilihat sebagai satu kelebihan.
“Selain itu, Malaysia juga secara senyap-senyap diklasifikasikan semula dalam kelompok ‘Emerging Market (EM) Asia berkualiti’,” ujarnya.
Menyentuh mengenai kenaikan emas, Penganalisis Pasaran Kanan di Capital.com, Kyle Rodda berkata, pemangkin terbaharu secara efektif adalah krisis keyakinan terhadap pentadbiran AS dan aset AS, yang dicetuskan oleh beberapa keputusan tidak menentu dari pentadbiran Trump minggu lalu.
“Pada hujung minggu, Presiden AS, Donald Trump berkata, pihaknya akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas Kanada jika negara itu meneruskan perjanjian perdagangan dengan China.
“Namun, beliau secara tiba-tiba menarik balik ancaman untuk mengenakan tarif terhadap sekutu Eropah sebagai usaha untuk merampas Greenland,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, emas secara tradisi bergerak berlawanan dengan dolar AS dan harga minyak.
Katanya, emas dilihat sebagai aset selamat yang lebih stabil oleh pelabur dan logam perak juga mencatatkan kenaikan yang signifikan.
“Kenaikan ini dipacu oleh ketidaktentuan geopolitik, terutamanya berkaitan Trump, Iran dan Greenland. Pelabur melihat logam berharga ini sebagai pelaburan yang lebih selamat dan lonjakan harga emas sering memacu kenaikan dalam komoditi lain.
“Bagaimanapun, harga emas tidak akan terus meningkat secara berterusan dan ini akan berubah apabila dolar AS kembali stabil.
“Bagi mereka yang mempunyai lebihan tabungan, emas boleh menjadi pilihan pelaburan tambahan tetapi tidak sepatutnya menggantikan simpanan atau pelaburan lain,” katanya.
Tambahnya, emas dilihat sebagai pelaburan jangka panjang kerana harganya yang lebih stabil.
“Walaupun saya melihat pengukuhan emas, saya tidak menggalakkan pelabur untuk menukar semua pelaburan lain ke dalam emas kerana harga ini akan berubah bila dolar AS mula stabil kembali,” jelasnya.-UTUSAN.










