NARATHIWAT (THAILAND): Seorang wanita dikenali sebagai ‘Luna’ yang dijejak oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan rampasan bunga ganja di Kuala Krai, Kelantan dipercayai mendapat perlindungan kumpulan pengedar dadah aktif di Selatan Thailand.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, sumber perisikan Thailand berkata, suspek sering kali bertukar-tukar hotel penginapan di kawasan sempadan negara ini.
Katanya, selain itu wanita berusia 30-an itu dilaporkan menukar penampilan termasuk memakai hijab bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Maklumat ini diperoleh daripada beberapa kumpulan pengedar ganja di dua wilayah bersempadan dengan Malaysia. Kebanyakan kumpulan ganja di Narathiwat, Yala dan Pattani mengenali wanita ini.
“Maklumat perisikan terbaharu menunjukkan dia berada di sebuah bandar di Selatan Thai. Dia mendapat perlindungan daripada kumpulan kanabis yang aktif di Selatan Thai,” katanya.
Sumber itu memberitahu, Luna dipercayai memiliki dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand yang mana pihak berkuasa Thailand percaya wanita berkenaan masih berada di Selatan Thailand.
“Kita masih mengumpul maklumat lanjut untuk mengesahkan tempat tinggal sebenar wanita itu di bandar berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, dalang utama sindiket penyeludupan bunga ganja bernilai RM1.82 juta yang ditumpaskan di Kuala Krai pertengahan bulan ini, dipercayai sedang bersembunyi di Thailand.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi polis Thailand itu untuk membantu mengesan dan menangkap wanita berkenaan.
Pada 14 Januari lalu media melaporkan, seorang wanita dikenali sebagai Luna dan disyaki sebagai dalang utama sindiket penyeludupan bunga ganja bernilai RM1.82 juta yang di Kuala Krai dipercayai sedang bersembunyi di Thailand. – UTUSAN











