NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Wilayah Narathiwat akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Thailand untuk melanjutkan operasi pintu lintasan sempadan di Sungai Golok yang bersempadan dengan Rantau Panjang, Kelantan, sehingga pukul 12 malam waktu Malaysia.
Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Chakrit Suranatkul berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kabinet untuk kelulusan rasmi.
Katanya, sebagai langkah awal, pengumpulan data maklumat kelebihan dan kesan pembukaan pintu sempadan sehingga pukul 12 malam waktu Malaysia itu dilaksanakan untuk pertimbangan Kerajaan Malaysia.
“Pelanjutan operasi pintu sempadan itu juga bersesuaian dengan pembinaan jambatan kedua yang dibiayai bersama dan menaik taraf jambatan sedia ada yang menghubungkan Rantau Panjang serta Sungai Golok yang dijangka siap menjelang 2028.
“Sebaik sahaja siap, jambatan ini dijangka meningkatkan hubungan perdagangan dan interaksi antara penduduk bersempadan sekali gus menjadi simbol persahabatan yang berkekalan antara Malaysia dan Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Chakrit juga sudah berbincang dengan pelbagai pihak termasuk tentera, polis, imigresen, persatuan pelancongan dan dewan perniagaan tempatan berkaitan perkara tersebut.
Katanya, ketika ini waktu operasi pintu sempadan Sungai Golok bermula pukul 5 pagi hingga 9 malam waktu tempatan atau 6 pagi hingga 10 malam waktu Malaysia.
“Selepas mempertimbangkan semua aspek termasuk statistik pelancong, keluar masuk kenderaan dan nilai import-eksport serta permintaan daripada pelbagai sektor, kami setuju melanjutkan operasi pintu sempadan di Sungai Golok sehingga pukul 11 malam,” katanya. – UTUSAN











