KUALA NERUS: Harga penginapan inap desa di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu melonjak mendadak susulan penganjuran acara RXZ 8.0 yang dijadualkan pada 1 dan 2 Ogos ini di Litar Permotoran Stadium Gong Badak, dekat sini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara membuat tempahan awal sejurus selepas tarikh penganjuran acara tersebut diumumkan pada 23 Januari lalu.
Permintaan yang tinggi itu menyebabkan kebanyakan inap desa di kawasan terlibat habis ditempah dalam tempoh singkat, sekali gus mencetuskan rungutan dalam kalangan pengunjung apabila terdapat pemilik penginapan didakwa menaikkan kadar sewaan sehingga tiga kali ganda berbanding harga biasa.
Seorang peminat RXZ yang mahu dikenali sebagai Along, 30, dari Negeri Sembilan berkata, kadar sewaan yang kebiasaannya antara RM300 hingga RM500 satu malam meningkat sehingga mencecah RM1,000, khususnya bagi penginapan yang berhampiran lokasi acara di Kuala Nerus.
“Saya faham permintaan tinggi namun kenaikan harga yang mendadak ini membebankan pengunjung, terutama yang datang dari jauh. Malah, ada pemilik inap desa yang membatalkan tempahan awal dipercayai mahu menaikkan harga,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagi Mohd Azri Abu Bakar , 38, dari Johor, dia buntu apabila semua inap desa yang dihubunginya sudah penuh.
“Agak pelik apabila semua yang saya hubungi menyatakan tempahan sudah penuh. Situasi ini tidak berlaku pada tahun lalu. Malah kebanyakannya meletakkan harga lebih tinggi berbanding hari biasa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Homestay dan KampungStay Negeri Terengganu, Md. Azmi A. Aziz berkata, dia terkejut dengan dakwaan tersebut namun tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku.
Bagaimanapun katanya, seramai 50 ahli persatuan diingatkan supaya tidak menaikkan harga sewaan inap desa sempena penganjuran acara besar seperti itu.
“Ahli masih kekalkan harga antara RM240 hingga RM250 semalam bagi inap desa tiga bilik, dua bilik air dan dilengkapi pendingin hawa. Bagaimanapun, jika ia melibatkan pemilik inap desa persendirian, saya berharap perkara ini dapat difikirkan semula. Jika mahu menaikkan harga, biarlah pada kadar yang berpatutan.
“Saya juga ingin mengingatkan orang tengah supaya tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan segera sempena acara RXZ 8.0,” katanya.
Penganjuran RXZ 8.0 dijangka menarik ribuan peminat motosikal klasik dari seluruh negara, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan. – UTUSAN











