Lebih 3,000 di Selangor dikenal pasti berisiko jadi miskin tegar tahun ini

Lebih 3,000 di Selangor dikenal pasti berisiko jadi miskin tegar tahun ini

Miskin tegar Selangor
AMIRUDIN Shari menyantuni penjawat awam dan tetamu yang hadir pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengenal pasti lebih 3,000 individu di negeri ini berisiko tergelincir ke dalam kategori miskin tegar pada tahun ini.

Ia berdasarkan jangkaan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri menerusi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan pemantauan semasa, antara 3,300 hingga 3,500 individu dikenal pasti berdepan risiko kehilangan sumber pendapatan akibat pelbagai faktor termasuk pemberhentian kerja, masalah kesihatan serta tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri bertindak awal dengan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan mereka terus terpinggir daripada pembangunan dan manfaat daripada pentadbirannya.

“Pendekatan itu penting kerana kemiskinan bukan sekadar soal pendapatan, tetapi melibatkan kestabilan hidup, akses pekerjaan dan daya tahan keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor, hari ini.

Amirudin berkata, kejayaan Selangor menoktahkan miskin tegar pada 2025 bukan penamat kepada usaha kerajaan negeri, sebaliknya menjadi asas kepada strategi lebih menyeluruh bagi memastikan golongan berisiko tidak kembali terjerumus ke kitaran kemiskinan.

Beliau menjelaskan program Bingkas terus diperkasa dengan pendekatan pemantauan berkala setiap enam bulan, bagi menilai tahap kebajikan penerima dan keperluan intervensi susulan.

“Kita bukan sekadar memberi bantuan kewangan, tetapi memastikan bantuan itu benar-benar membantu rakyat kekal berdikari dan berdaya tahan dalam jangka panjang,” jelasnya.

Dalam ucapan sama, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri merekodkan peningkatan hasil negeri kepada RM3.021 bilion pada tahun ini berbanding RM2.4 bilion tahun lalu dan ia menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima tahun berturut-turut.

Sektor tanah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada hasil negeri selain, peningkatan aktiviti pelaburan, termasuk penukaran guna tanah daripada pertanian kepada industri dan komersial, turut menyumbang nilai premium yang lebih tinggi.

Amirudin turut mengumumkan beberapa inisiatif sokongan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk peruntukan RM10 juta untuk program pembersihan dan pengindahan kampung di seluruh Selangor.

Katanya, selain itu kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi menaik taraf fasiliti sekolah agama rakyat serta RM2 juta untuk penambahbaikan kemudahan pelancongan di Masjid Negeri Selangor, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan sosial dan komuniti setempat.

“Hasil negeri yang semakin kukuh perlu diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat, khususnya di peringkat akar umbi, tanpa mengabaikan prinsip keadilan sosial dan keseimbangan pembangunan bandar serta luar bandar.

“Tanggungjawab kerajaan bukan sekadar mencatat pertumbuhan ekonomi yang tinggi, tetapi memastikan setiap lapisan rakyat Selangor menikmati kesejahteraan hidup dan tidak tercicir dalam arus kemajuan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×