MELAKA: Beberapa pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyebaran maklumat sulit berkaitan pertukaran dan kenaikan pangkat pegawai kanan pasukan keselamatan itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, individu terlibat dipanggil susulan laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) minggu lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Menurut beliau, pihak kementerian mengambil langkah tersebut bagi memastikan sebarang kebocoran maklumat yang membabitkan keselamatan negara ditangani secara profesional oleh pihak berkuasa.
“Kita sudah laporkan kepada polis, siasatan itu perlu dilakukan oleh polis. Polis telah pun memanggil beberapa pegawai untuk ditemu ramah, disiasat dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan penyebaran maklumat sulit mengenai pertukaran pegawai ATM yang membabitkan nama dan jawatan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak di sini hari ini bagi meninjau tahap kesiapsiagaan operasi serta aspek kebajikan anggota dan keluarga ATM.
Pada minggu lalu MINDEF memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati menyebarkan maklumat sulit atau dalaman kerajaan di media sosial.
Pendedahan nama, jawatan dan pergerakan pegawai kanan menimbulkan risiko keselamatan kerana maklumat itu tidak pernah didedahkan kepada umum kerana sensitif. – UTUSAN










