BERBEKALKAN rasa ingin tahu dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu, seorang pelajar universiti mencipta kelainan dalam dunia minuman tempatan menerusi idea yang unik dan segar.
Nik Azwien Syafiqa Nik Omar, 25, tidak pernah menyangka eksperimen kecil yang dilakukan ketika cuti semester tahun lalu akhirnya berkembang menjadi perniagaan minuman matcha berkonsepkan bunga yang kini mampu menjana pendapatan lebih RM10,000 sebulan.
Menurut Azwien, inspirasi tercetus selepas dia melihat ais krim di Jepun yang dihias dalam bentuk bunga, menjadikannya kelihatan lebih eksklusif dan menarik.
Namun, setelah meneliti proses penghasilannya yang agak rumit serta kurang sesuai untuk pasaran tempatan, dia mengambil keputusan untuk mengadaptasikan idea tersebut ke dalam minuman matcha.
“Bunga yang dihasilkan menggunakan teknik tersendiri berasaskan bahan krim. Ia memerlukan ketelitian, masa dan kesabaran yang tinggi,” katanya.
Nik Azwien berkata, dia berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal, termasuk bunga yang mudah cair dan proses penyediaan yang memakan masa.
Namun selepas melalui beberapa siri percubaan, Azwien akhirnya dapat menyesuaikan teknik supaya hiasan bunga krim tersebut lebih tahan lama dan kekal cantik apabila dihidangkan.
MATCHA MESRA SEMUA
Selain tarikan visual, Azwien menekankan rasa juga menjadi kekuatan utama jenama Madrink miliknya. Dia menyedari tidak semua orang menggemari matcha kerana rasanya yang cenderung pahit.
“Oleh itu, saya ubah suai formulasi supaya rasanya lebih lembut, tidak terlalu pahit dan mudah diterima, termasuk oleh mereka yang pertama kali mencuba matcha,” jelasnya.
Gabungan warna hijau matcha dengan bunga krim berwarna merah jambu pula menjadi identiti visual tersendiri yang membezakan produknya daripada jenama lain di pasaran.
SEMAKIN DI KENALI
Perniagaan Madrink bermula secara sederhana menerusi sebuah gerai kecil.

Tanpa meletakkan jangkaan yang terlalu besar, sambutan pelanggan semakin memberangsangkan sehingga memaksa Azwien berpindah lokasi beberapa kali demi keselesaan pelanggan.
Walaupun masih bergelar pelajar sepenuh masa, dia dibantu oleh rakan-rakan serta ahli keluarga dalam menguruskan operasi harian perniagaan.
Titik perubahan terbesar berlaku apabila video minumannya tular dalam TikTok, disusuli liputan daripada pempengaruh makanan terkenal seperti Best Food Malaysia.
Sejak itu, jenama Madrink semakin dikenali dan menjadi bualan dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurut Azwien, hanya dengan beberapa hantaran di Instagram dan TikTok, kuasa perkongsian pelanggan sendiri sudah cukup untuk melonjakkan jenamanya tanpa perlu strategi pemasaran yang rumit.
CABARAN MEMBINA
Walaupun kini terdapat beberapa jenama lain yang mula tampil dengan konsep serupa di Malaysia dan negara jiran, Azwien melihat perkara itu sebagai satu cabaran yang sihat.
Baginya, kekuatan sebenar terletak pada kualiti produk, identiti jenama dan hubungan yang dibina bersama pelanggan.

Melangkah ke hadapan, Azwien merancang untuk memperkenalkan variasi corak bunga dengan perisa baharu, selain memperluaskan menu kepada pencuci mulut serta makanan khas bermusim seperti Ramadan.
Walaupun masih bergelar pelajar universiti, komitmennya terhadap pengajian tidak pernah terabai.
Dengan pengurusan masa yang teratur, dia berjaya mengimbangi tuntutan akademik dan operasi perniagaan secara serentak.
Malah, pengalaman mengurus perniagaan sendiri sejak usia muda telah membentuk kematangan dan disiplin dalam dirinya, sekali gus menjadi bukti usia dan status pelajar bukan penghalang untuk melangkah jauh dalam dunia keusahawanan.











