MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola meluahkan kekecewaan terhadap keputusan pengadil yang disifatkannya tidak konsisten, namun menegaskan kejayaan pasukannya tetap hadir walaupun sering berdepan situasi sedemikian.
Luahan beremosi itu dizahirkan Guardiola selepas City mencatat kemenangan 2-0 ke atas Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin yang menyaksikan pasukannya dinafikan sepakan penalti pada separuh masa pertama.
Dalam perlawanan berkenaan, pengadil perlawanan, Farai Hallam, yang membuat penampilan sulungnya dalam EPL, mengekalkan keputusan asal untuk tidak menghukum Yerson Mosquera atas kesalahan bola tangan walaupun diminta oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk menyemak insiden tersebut.
Guardiola turut mengimbas kembali insiden kontroversi minggu lalu ketika City tewas 0-2 kepada Manchester United, apabila Diogo Dalot terlepas hukuman kad merah walaupun melakukan kekasaran keras terhadap Jeremy Doku.
“Dalam dua musim kebelakangan ini, saya sering tertanya-tanya mengapa saya tidak memiliki pemain sepenuhnya akibat kecederaan. Itu satu-satunya perkara yang saya kesalkan.
“Kami menang walaupun berdepan keputusan seperti ini. Pengadil membuat debut besar dan semua orang kini mengenalinya. Ini kali pertama saya lihat semakan di skrin tidak berakhir dengan penalti,” katanya.
Keputusan Guardiola merehatkan Erling Haaland ternyata berbaloi apabila Omar Marmoush tampil cemerlang menjaringkan gol pembukaan, sebelum Antoine Semenyo menambah jaringan kedua serta ketiga peribadinya sejak menyertai City awal bulan ini.
Sementara itu, pertahanan England, Marc Guehi, turut mencuri tumpuan apabila membuat penampilan sulung bersama City selepas melengkapkan perpindahan dari Crystal Palace.
Guardiola percaya kehadiran Semenyo dan Guehi mampu memberi impak besar dalam misi City memburu kejuaraan, walaupun kini ketinggalan empat mata di belakang Arsenal di puncak liga.
“Mereka pemain yang sudah matang. Antoine membawa tenaga luar biasa, manakala Marc sangat tenang dan bijak membaca permainan.
“Dia berada pada usia terbaik dan pembelian ideal untuk jangka panjang. Saya nampak kualitinya sejak hari pertama latihan,” ujar Guardiola. – AGENSI/UTUSAN










