BAGAN DATUK: QL Resources Berhad meningkatkan kapasiti pengeluaran produk makanan yang dihasilkannya menerusi pembangunan QL Innofood Park di kawasan seluas 40.27 hektar di Hutan Melintang di sini, melibatkan pelaburan RM1.3 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Pengerusi Eksekutif QL Resources Berhad, Dr. Chia Song Kun berkata, QL Innofood Park merupakan langkah pengembangan baharu QL Foods Sdn. Bhd. dalam pembuatan makanan serantau yang melangkaui portfolio berasaskan surimi kepada produk makanan berprotein daripada pelbagai sumber lain seperti soya, tepung, ayam dan lain-lain.
Menurutnya, pengembangan tersebut sejajar dengan permintaan pasaran domestik dan luar negara yang meningkat.
“QL Innofood Park dibangunkan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun, merangkumi 13 kilang pengeluaran dan infrastruktur sokongan termasuk utiliti, logistik gudang dan fasiliti pekerja,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah pembangunan QL Innofood Park di Hutan Melintang di sini, semalam.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Song Kun berkata, bagi peringkat awal pembangunanya, kira-kira RM300 juta akan dilaburkan untuk membangunkan infrastruktur sokongan.
Menurutnya, seterusnya, sebanyak RM100 juta turut akan dilaburkan setiap tahun bagi tempoh 10 tahun untuk membina kilang pengeluaran.
“Setelah projek ini disiapkan sepenuhnya, ia dijangka meningkatkan kapasiti produk tahunan QL Foods kepada 180 ribu metrik tan. Penambahan kapasiti sebanyak 130 ribu metrik tan ini bersamaan kira-kira 2.5 kali ganda daripada kapasiti yang sedia ada, iaitu 50 ribu metrik tan,” katanya.
Song Kun berkata, apabila keseluruhan projek tersebut disiapkan sepenuhnya, ia dapat mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti negeri Perak.
“Dengan pelaburan berimpak tinggi ini, kami menjangka projek ini akan mempertingkatkan taraf sosioekonomi warga negeri Perak, khususnya di daerah Bagan Datuk dan terus menyumbang kepada agenda negara dalam perindustrian dan keselamatan makanan,” katanya.
Menurutnya, reka bentuk dan perancangan projek itu berteraskan konsep kelestarian serta inisiatif hijau yang merangkumi pemasangan solar fotovoltaik (PV), sistem penuaian air hujan, pusat pengasingan sisa pepejal dan biomass boiler, di samping penggunaan mesin tenaga efisien.
Katanya, inisiatif tersebut menyokong peralihan ke arah jejak karbon rendah.
“Kilang ini direka bentuk untuk pemodenan, kesediaan Industri 4.0 dan kecekapan operasi, merangkumi ASRS centralised cold room dan smart warehouse bagi bahan pembungkusan serta pemantauan berasaskan data.
“Inovasi ini akan meningkatkan kadar pengeluaran secara ketara, mengurangkan tenaga kerja manual serta memperkukuh keselamatan produk makanan,” katanya. – UTUSAN










