Pesta Sauk Sotong produk pelancongan baharu Perlis

Pesta Sauk Sotong produk pelancongan baharu Perlis

ABU Bakar Hamzah (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah utama bernilai RM10,000 kepada pemenang semasa Majlis Penutup Pesta Sauk Sotong Perlis 2026 di Tapak MBI Kuala Perlis, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pesta Sauk Sotong Perlis 2026 yang dianjurkan julung kali di tapak Menteri Besar Incorporated (MBI) Kuala Perlis di sini berpotensi dijadikan produk pelancongan baharu di negeri ini dan dijadikan sebagai acara tahunan.

Penganjuran program selama dua hari itu turut  menghimpunkan lebih 100 peserta dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi dengan melibatkan lebih 50 buah bot nelayan.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, beberapa penambahbaikan daripada aspek penganjuran, promosi dan penglibatan strategik perlu dilaksanakan selepas ini berikutan acara tersebut dilihat mampu menjadi tarikan utama pelancongan bermusim yang dinantikan pengunjung domestik dan antarabangsa. 

“Pesta Sauk Sotong Perlis 2026 ini juga merupakan pembuka tirai kepada Kalender Acara Pelancongan Perlis yang dirangka berterusan dan tersusun sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup program berkenaan di sini hari ini. 

Bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026, kerajaan negeri mensasarkan kehadiran seramai lima juta pelancong menerusi penganjuran hampir 40 program di peringkat negeri dan antarabangsa sepanjang tahun ini.

Abu Bakar berkata, Pesta Sauk Sotong itu juga merupakan usaha yang dilaksanakan selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memastikan sektor pelancongan Perlis sentiasa aktif, relevan dan berdaya saing. 

“Kerajaan negeri juga mahukan Perlis dikenali bukan sehaja sebagai negeri indah dan tenang, tetapi juga sebagai destinasi pelancongan pilihan ramai yang menawarkan pengalaman autentik, nilai kekeluargaan dan kekayaan tradisi,” katanya. 

Ujar beliau, penganjuran Pesta Sauk Sotong itu turut mendapat penglibatan persatuan nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Maritim, agensi-agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Kata Abu Bakar, pihaknya berharap pesta itu akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kreatif dan inovatif dalam memperkukuhkan sektor pelancongan negeri ini.

“Penganjuran program sebegini bukan sekadar acara tradisi atau rekreasi, namun ia turut menjadi platform unik bagi mengetengahkan warisan kehidupan pesisir, budaya komuniti serta keindahan alam semula jadi Perlis kepada umum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN