Tiada rakyat Malaysia terjejas insiden tanah runtuh di Jawa Barat

Tiada rakyat Malaysia terjejas insiden tanah runtuh di Jawa Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Luar mengesahkan setakat ini tiada warganegara Malaysia dilaporkan terkesan susulan kejadian tanah runtuh di Jawa Barat, Indonesia yang berlaku semalam.

Wisma Putra memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan operasi mencari dan menyelamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Republik Indonesia.

Katanya, keselamatan warganegara Malaysia di kawasan terjejas sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap insiden bencana di luar negara.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang memantau rapat perkembangan operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan pihak berkuasa Republik Indonesia susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir Kuning, Desa Pasirlangu, Kecamatan Cisarua, Kabupaten Bandung Barat pada 24 Januari 2026.

“Setakat ini, kementerian mengesahkan tiada warganegara Malaysia dilaporkan terkesan akibat insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menghubungi wakil pelajar dan warganegara Malaysia yang berdaftar di Bandung Barat bagi memastikan keselamatan mereka.

“Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +6281380813036 atau e-mel [email protected].

“Kementerian Luar merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada ahli keluarga mangsa serta mendoakan agar usaha mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa Republik Indonesia dipermudahkan,” kata kenyataan itu.

Setakat pukul 10.00 malam tadi, kejadian berkenaan dilaporkan mengorbankan 10 nyawa, manakala 81 mangsa masih dikhuatiri hilang.

Agensi cuaca Indonesia sebelum ini mengeluarkan amaran awal mengenai cuaca ekstrem termasuk hujan lebat yang dijangka berlarutan selama seminggu, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh terutama di kawasan tanah tinggi.

Media antarabangsa melaporkan tragedi di Bandung Barat ini merupakan kejadian tanah runtuh kedua berlaku di Pulau Jawa dalam tempoh lebih dua bulan, susulan insiden di Cibeunying pada 13 November tahun lalu yang mengorbankan 11 orang selepas hujan lebat berpanjangan.

Operasi menyelamat dijangka berdepan cabaran susulan keadaan tanah yang tidak stabil serta risiko runtuhan susulan, namun pasukan penyelamat terus digerakkan bagi meminimumkan kehilangan nyawa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×