KUALA LUMPUR: Pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah-sekolah padat di Selangor diluluskan segera bagi menangani masalah kesesakan kelas dan kekurangan prasarana yang menjejaskan proses pembelajaran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat susulan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor demi memastikan isu berkenaan ditangani secara serius tanpa menunggu ia tular di media sosial.
Katanya, keadaan sekolah padat, kelas sesak dan prasarana tidak mencukupi akan memberi kesan kepada keberkesanan pembelajaran.
Ujarnya, semua pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah terlibat akan dilaksanakan segera secara berfasa.
“Isu sekolah padat sentiasa menjadi keprihatinan masyarakat. Kita harus akui bahawa kerja keras sahaja tidak cukup kerana rakyat mahu melihat hasilnya. Saya tegur dengan tegas secara pentadbiran bahawa jangan tunggu sehingga viral baharulah tindakan diambil.
“Setelah melihat intervensi jangka pendek, saya luluskan segera semua pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah-sekolah (padat) tersebut.
“Saya juga telah mengarahkan waran guru ditambah bagi menangani isu kekurangan guru bagi sekolah padat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, sekolah-sekolah baharu yang sedang dibina akan diberikan perhatian segera bagi memastikan perancangan pendidikan selari dengan keperluan semasa.
Katanya, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 mengutamakan suasana pembelajaran yang kondusif dan prasarana selesa bagi meningkatkan mutu pendidikan.
“Jangan kerja sebab viral, kita kerja kerana itu memang kerja kita,” katanya.
Beliau turut memaklumkan mesyuarat seterusnya bakal diadakan bersama JPN Kedah bagi menangani isu sekolah padat di negeri berkenaan. – UTUSAN











