Munsyi Dewan (Sastera) merupakan pakar rujuk dan penceramah bertauliah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berperanan penting dalam memartabatkan, mengembangkan dan mempromosikan sastera Melayu serta bahasa kebangsaan melalui kursus, bimbingan dan penerbitan, baik di dalam mahupun di luar negara.
Kepakaran Munsyi Dewan ini diuji melalui kursus yang dianjurkan oleh pihak DBP sendiri, selain pelbagai ujian lain yang perlu dihadapi sebelum layak diperakukan sebagai pakar rujuk, penceramah dan fasilitator bertauliah yang disegani.
Bagaimanapun, tidak ramai dalam kalangan aktivis sastera ini yang mampu menghasilkan karya sendiri.
Hal ini bukan disebabkan oleh kedudukan golongan ini yang menjadi guru atau fasilitator pelbagai program atau aktiviti sastera, namun lebih kepada keupayaan berkembar iaitu menjadi aktivis dan penulis, selain kekangan masa dan sebagainya.
Namun, kegigihan dan kemampuan untuk turut sama menjadi penulis yang dibuktikan oleh 16 orang alumni Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan DBP 2023 ini amatlah membanggakan.
Mereka telah berjaya membuktikan kekangan masa sebagai Munsyi Dewan dan tugas hakiki masing-masing tidak menghalang untuk berkarya dengan menghasilkan Antologi Puisi Menjawab Suara Luka (Nuha Books, 2024) ini.
Alumni ini terdiri daripada Al-Insyirah Abdul Rashid yang telah menghasilkan tujuh puisi manakala Aniza Yusoff (lima), Prof. Dr. Azman Che Mat (enam), Dr Azman Rahmat (tiga), Jamly Bahrulddin (enam), Masriyah Misni (tujuh), Mohd. Fadzil Yusof (lima), Dr. Muhammad Irfan Nyia Abdullah (lima), Muhammad Izzat Md Isa (tujuh), Dr. Nadiatul Shakinah Abdul Rahman (tiga), Nelawati Ngadul (tiga), Dr. Norazimah Zakaria (tujuh), Noriani Hashim (4), Nurimas SN (enam), Drs Sundarapandian Valusamy (empat) dan Zety Natamulia Elias (tiga).
Antologi ini diusahakan penerbitannya oleh Siti Sarah Insyirah Abd. Rashid yang bertindak sebagai ketua projek, Jamly Bahrulddin sebagai editor dan diselenggarakan oleh Nurimas SN serta Masriyah Misni.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari dalam kata pengantar buku tersebut, melahirkan penghargaannya atas sumbangan alumni ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Mereka telah berjaya menghasilkan 90 puisi yang diabadikan dalam antologi ini.
Menurutnya, DBP yang berperanan sebagai institusi untuk mengangkat martabat bahasa dan sastera negara sentiasa menyokong sebarang aktiviti sastera seperti ini.
Dr. Hazami mengharapkan agar usaha ini dapat dicontohi oleh aktivis sastera untuk turut berkarya bagi memperkaya khazanah sastera serta memupuk ideologi bangsa yang lebih sihat dan berdaya maju.
Antologi setebal 100 halaman ini memuatkan puisi-puisi yang keseluruhannya lebih terarah kepada tema kemanusiaan dan kemasyarakatan.
Kebanyakan puisi dihasilkan dalam antologi ini menggunakan bahasa mudah difahami, namun masih mengekalkan keindahan bahasa yang diperlukan dalam puisi.
Misalnya, Jamly selaku editor antologi ini, menerusi sajaknya yang bertajuk Tasbih menulis:
Pagi-pagi gelap
laut berbagi kegigihan
sambil bertasbih
mencari kekuatan diri
menuju pulau abadi.
(Antologi Puisi Menjawab Suara Luka, halaman 34)
Ternyata penggunaan gaya bahasa biasa dan mudah difahami itu, mempunyai maksud tersirat yang mengesankan.
Sementara itu, sajak karya Dr. Norazimah Zakaria, Menjawab Suara Luka yang diangkat sebagai judul antologi puisi ini pula memiliki kekuatannya yang tersendiri.
Sajak dua rangkap dan mempunyai sembilan baris sahaja ini sarat dengan makna yang tersirat.
Basuhlah suara luka itu
agar lara itu terhapus
dan bintang akan menjelma
membawa seraut senyum.
(Antologi Puisi Menjawab Suara Luka, halaman 73)
Nurimas SN, melalui sajaknya Seorang Lelaki Di Terminal pula menggambarkan perubahan ketara atau peningkatan taraf perkhidmatan kereta api.
Buat kali pertama
ia berdiri di situ
menghitung masa lalu
gerak Senandung Semalam
yang tinggal kenangan.
Senyuman berbunga
melihat pesawat serba maju
mengganti momen baharu
dengan mimpi lusa
produk swadaya.
(Antologi Puisi Menjawab Suara Luka, halaman 87).
Begitu juga dengan sajak-sajak lain, ternyata memiliki kekuatanny tersendiri dan tidak sukar untuk difahami.
Memetik kata-kata SN Datuk Rahman Shaari yang merupakan salah seorang penulis blurb antologi ini:
“Puisi ialah cabang kesusasteraan yang berada dalam kedudukan yang tertinggi. Bahasa puisi ringkas kerana isinya dipadatkan. Perlu ditegaskan, keistimewaan ini hanya ada pada puisi yang cemerlang. Antologi ini tidak ketinggalan.”-UTUSAN










