Polis Selangor tunai RM1.03 juta zakat kepada LZS

Polis Selangor tunai RM1.03 juta zakat kepada LZS

Zakat Polis Selangor
MOHD. Khaidzir Shahari menyerahkan wakalah zakat kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar pada Taklimat Khas Zakat bersama Polis Kontinjen Selangor yang bertemakan ‘Anda Hero Asnaf’, di Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Selangor merekodkan bayaran zakat sebanyak RM1.03 juta bagi tahun 2025 daripada 2,736 pegawai dan anggota, meningkat berbanding RM1.01 juta pada 2024.

Walaupun jumlah kutipan meningkat, namun pembayar zakat pendapatan melalui skim potongan gaji daripada kumpulan itu menurun sebanyak 25 orang berbanding tahun sebelum seramai 2,761.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, kutipan zakat daripada Polis Selangor berpotensi meningkat kepada RM1.2 juta pada tahun ini jika seramai 10,000 warganya menunaikan zakat mulai bulan ini.

Katanya, LZS turut memperkenalkan Pakej Zakat Potongan Gaji khas buat anggota PDRM Selangor yang merangkumi dua pakej iaitu Wira Prihatin dengan caruman RM10 sebulan dan Wira Harapan dengan caruman RM50 sebulan.

“Jika dengan RM10 sebulan, potensi bayaran zakat mencapai RM1.2 juta setahun dengan anggaran wakalah RM150,000. Jika RM50 sebulan, potensi bayaran zzakat mencapai RM6 juta setahun dengan anggaran wakalah sebanyak RM750,000.

“Menjangkau ke tahun 2026, sasaran kutipan sebanyak RM2.2 juta dengan jangkaan wakalah majikan mencecah RM275,000. Itu bukan sekadar angka, ia adalah bukti zakat bukan beban, tetapi kekuatan. Kekuatan untuk memberi dan melindungi mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Taklimat Khas Zakat bersama Polis Kontinjen Selangor yang bertemakan ‘Anda Hero Asnaf’, semalam.

Dalam majlis tersebut, LZS menyerahkan wakalah zakat sebanyak RM126,162.92 kepada Polis Selangor bagi bayaran tahun 2024 yang merupakan hasil kutipan dalam kalangan pasukan keselamatan itu di negeri ini.

Menurut Mohd. Khaidzir, ia merupakan program ketiga pasukan itu dengan LZS dalam kerjasama antara agensi badan beruniform di Selangor selepas ATM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dilaksanakan pada tahun lalu.

“Insya-Allah, selepas ini LZS akan turun padang ke setiap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD). Kami akan hadir bersama anda bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat, tetapi berkongsi kefahaman, membimbing secara dekat dan memudahkan urusan bayaran zakat agar ia lebih teratur, telus dan berkesan.

“Setiap sen yang dikutip bukan sekadar statistik atau laporan tahunan. Ia adalah nafas kehidupan buat mereka yang berada dalam kategori asnaf, diuji dengan kemiskinan, kehilangan pendapatan, sakit terlantar, anak-anak tercicir pendidikan dan pelbagai lagi cabaran hidup,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×