BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar projek ladang babi berskala besar di Bukit Tagar, Selangor dibatalkan.
Saranan itu dikeluarkan Perdana Menteri berikutan keresahan masyarakat pelbagai kaum selain mengambil kira nasihat Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengekalkan keharmonian rakyat.
Susulan cadangan pembatalan itu, Anwar berkata, perbincangan akan diadakan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bagi menilai lokasi alternatif yang lebih sesuai dengan penggunaan teknologi moden.
“Walaupun teknologi canggih digunakan, projek tidak wajar diteruskan jika menimbulkan kegusaran rakyat. Cadangan ini mengambil kira nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kepentingan keharmonian masyarakat.
“Saya akan bincang dengan Amirudin. (Ini) supaya beri pandangan, kalau boleh batalkan dahulu projek (ladang babi di Bukit Tagar) dan pertimbangkan kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin,” katanya ketika ditemui selepas Solat Jumaat di Surau Al Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, di sini semalam.
Katanya isu persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum perlu diberi perhatian sebelum Bukit Tagar dijadikan kawasan penternakan babi.
Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita serta tidak bersetuju dengan perancangan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat yang dijadual bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda menegaskan bahawa projek penternakan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat di Selangor yang majoriti Melayu Islam.
Anwar berkata, walaupun teknologi digunakan itu baik tetapi ladang babi itu berada di kawasan menimbulkan keresahan masyarakat, lantas tidak wajar diteruskan.
“Pilihan kita kadang-kadang, bangunkan di tempat sama yang ada ternakan dengan syarat yang ketat tentang teknologi baharu. Jadi itu pandangan diberikan rakan-rakan (di dalam Kabinet).
“Saya akan bincang semula dengan Menteri Besar Selangor, mengambil kira keresahan dan juga nasihat serta titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.
Anwar berkata, walaupun isu ladang babi berada bawah kuasa kerajaan negeri tetapi ia sudah menimbulkan kegelisahan.
“Malah, isu ladang ternakan ayam, ternakan khinzir lebih lagi masalah pencemaran yang sangat berat (teruk) seperti mana yang berlaku di Morib sekarang.
“Sebab itu perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan menganggap ia boleh diselesaikan dengan mudah,” katanya.
Mengenai Lembaga Keamanana atau Board of Peace dilancarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Anwar berkata, Malaysia belum membuat keputusan untuk memberi sokongan kepada lembaga tersebut.
Lembaga diasaskan Trump itu tidak memberi jaminan ia mampu menangani krisis membabitkan Semenanjung Gaza serta wilayah berkenaan.
“Agak sukar melainkan ada jaminan yang betul dan baik serta ketegasan soal rakyat Gaza, pengiktirafan Palestin serta menghentikan sama sekali serangan ganas dan biadab oleh rejim Israel.
“Bantuan kemanusiaan juga belum dipulihkan dan dilaluikan (kepada rakyat Gaza). Jadi sukar untuk kita beri dokongan awal,” katanya
Dalam perkembangan lain, Anwar menggesa seluruh badan penguatkuasa menjalankan tanggungjawab sepenuhnya membersihkan negara dari kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Katanya, kelemahan dan keterlanjuran dalam proses perolehan kontrak dan tender dari kerajaan perlu ditangani bagi membebaskan negara daripada gejala rasuah. – UTUSAN










