“BAGAIMANA kita boleh berdiam diri melihat kanak-kanak kehilangan keluarga, ibu berjuang melahirkan bayi pramatang dan penderitaan manusia berlaku di depan mata?”
Itulah persoalan dilontarkan pelakon terkenal Britain, Juliet Stevenson, yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin, terutama kanak-kanak dan wanita di Gaza.
Daripada menyertai perarakan, memberikan ucapan, menandatangani surat protes, menulis rencana serta menghasilkan filem, beliau menggunakan setiap peluang itu untuk mendedahkan kekejaman Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Minggu lalu, Stevenson bersama puluhan ikon budaya lain seperti Judi Dench, Meera Syal dan Sienna Miller menulis surat kepada pengasas forum dalam talian popular, Mumsnet, berhubung pelbagai isu termasuk krisis kemanusiaan di Gaza.
Surat tersebut menggesa pengasas Mumsnet, Justine Roberts, untuk memberi tekanan terhadap kerajaan United Kingdom (UK) supaya mendesak Israel membenarkan klinik bersalin yang terkandas di Mesir masuk ke Gaza serta memberi akses pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan, terutama barangan penting wanita dan kanak-kanak.
“Ini adalah kempen ibu untuk ibu. Apa yang dilalui oleh para ibu di Gaza adalah sesuatu yang tidak terbayang dan mengerikan,” katanya.
Dalam temubual bersama Al Jazeera, Stevenson berkongsi betapa beratnya memikirkan nasib ibu bapa di Gaza.

Beliau berkata, kini terdapat ramai kanak-kanak cacat anggota badan, hilang keluarga dan menjadi anak yatim dalam usia yang masih muda.
“Terus terang, sukar untuk diungkapkan. Ada kala saya rasa hampir hilang kawalan.
Terdapat juga ibu bapa yang kehilangan semua anak mereka.
“Ibu mengandung pula kelaparan, melahirkan anak pramatang dan terpaksa berjuang untuk terus hidup,” kata Stevenson.
Menurutnya, laporan mengenai sebahagian besar sistem penjagaan kesihatan Gaza musnah, dan hospital yang beroperasi kini berdepan kekurangan peralatan perubatan juga ‘meremukkan’ seluruh perasaannya.
“Kadar kematian bayi meningkat 75 peratus, manakala kadar keguguran melonjak 300 peratus.
“Mana-mana ibu di dunia yang melihat keadaan ini pasti akan dihantui dan berasa ngeri, saya pasti,” katanya.
TIDAK KISAH HILANG KERJAYA
Stevenson sudah lama mengikuti isu Palestin, yang menurutnya sejak awal lagi dilihat sebagai satu naratif ketidakadilan yang melampau.
“Suami saya berketurunan Yahudi dan ibu mertua saya adalah pelarian dari Vienna semasa era Hitler. Saya sangat memahami apa yang ditinggalkan Holocaust, dan keperluan masyarakat Yahudi untuk berasa selamat.
“Tetapi seperti yang kini dinyatakan oleh ramai Yahudi, apa yang kerajaan Israel lakukan sekarang dan apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin sejak 1948, bukanlah penyelesaian yang adil atau bijaksana, kerajaan UK juga terlibat dalam peristiwa sejarah itu,” katanya.

Stevenson sedar kelantangannya mungkin mengundang risiko dalam industri hiburan serta kerjaya seninya.
Namun, pelakon wanita tersebut lebih percaya kepada prinsip berbanding kelangsungan kerjayanya selepas ini.
“Jika mereka tidak mahu bekerja dengan saya kerana mereka tidak bersetuju dengan pendirian saya mengenai isu ini, maka saya juga tidak mahu bekerja dengan mereka.
“Saya tidak menganggap kerjaya saya lebih penting daripada nyawa kanak-kanak Palestin. Apabila suatu saat yang menutup mata, saya mampu berbangga kerana sudah melakukan sesuatu yang tepat,” katanya.
Beliau juga meluahkan kekecewaan yang sangat mendalam terhadap industrinya kerana bersikap membisu terhadap isu kemanusiaan dan kekejaman di Gaza.
“Saya kecewa melihat bagaimana orang ramai tunduk kepada kuasa sehingga memilih untuk membisu. Pada tahap genosid ini, berdiam diri bukan tindakan pasif, tetapi tindakan aktif, suatu keputusan untuk bersubahat,” katanya.
Stevenson juga bertekad untuk terus menggunakan pengaruhnya membangkitkan kesedaran mengenai penderitaan rakyat Palestin, dan berharap suara beliau mampu menggerakkan hati dan tindakan lebih ramai orang.
“Amat penting untuk memastikan Palestin sentiasa diingati orang ramai, mengekalkan kehadirannya dalam media supaya gerakan bagi keamanan dan keadilan terus hidup dan diperjuangkan.
“Saya juga ingin mengiktiraf suara dan gerakan anak muda dalam industri saya,” katanya.










