SHAH ALAM: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.
Beliau sekali lagi dihadapkan ke mahkamah selepas dituduh semalam atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram melebihi RM2.1 juta.
Bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu sebelum ini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan kewujudan aliran tunai besar dalam akaun bank miliknya.
Siasatan SPRM tertumpu kepada aliran wang yang disyaki masuk ke dalam akaun pegawai itu dipercayai membabitkan kes rasuah projek perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Pada 29 Disember lalu, SPRM turut menyita enam akaun bank milik pegawai kanan tentera itu dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes.
Pada 7 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pegawai kanan tentera itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital sejak 28 Disember lalu sebelum dibenarkan pulang pada 6 Januari.
SPRM sebelum ini memaklumkan, pegawai berkenaan dikehendaki memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada 28 Disember lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun, semalam Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah ke atas keempat-empat pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Keempat-empat pertuduhan tersebut melilbatkan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM969,000.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,153,400 yang didepositkan dalam akaun Maybank miliknya.
Jumlah keseluruhan wang hasil aktiviti haram yang didakwa diterima bekas PTD itu ialah RM2,122,400.
Turut didakwa atas tuduhan serupa di mahkamah berlainan ialah isteri ketiganya, Salwani Anuar @ Kamaruddin atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000. – UTUSAN










