PETALING JAYA: Harga emas mengurangkan kenaikan kepada sekitar AS$4,790 (RM19,375.55) seauns (kira-kira RM683 segram) pada sesi awal Asia hari ini.
Menurut laporan FXStreet, logam berharga itu menyusut daripada paras tertinggi rekod AS$4,888 selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berundur daripada ancaman tarif ke atas Eropah dan mengumumkan rangka kerja perjanjian berkaitan Greenland.
“Bagaimanapun, Trump tidak memperincikan parameter rangka kerja yang dimaksudkan dan masih tidak jelas kandungan sebenar perjanjian tersebut.
“Menteri Kewangan Jerman, Lars Klingbeil, memberi amaran agar tidak terlalu awal bersikap optimistik selepas Trump berundur daripada ancaman mengenakan tarif sebagai tekanan untuk merampas Greenland.
“Sebarang petunjuk peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) berpotensi menyokong kenaikan harga emas,” katanya laporan tersebut.
Bloomberg melaporkan pada Rabu, Trump berkata beliau akan menarik diri daripada mengenakan tarif ke atas barangan dari negara-negara Eropah yang menentang usahanya untuk mengambil alih Greenland.
Tambahnya, AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah membentuk rangka kerja bagi perjanjian masa depan berkaitan Greenland.
Harapan terhadap penyelesaian terhadap hasrat Trump berhubung Greenland yang dapat mengelakkan pengenaan tarif berpotensi melemahkan aset perlindungan tradisional seperti emas dalam jangka masa terdekat.
Pakar Strategi Komoditi di ING Groep NV, Ewa Manthey berkata, emas berkemungkinan berehat seketika, namun pasaran menaik kekal kukuh.
“Ini dengan jangkaan penurunan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang berterusan serta pembelian kukuh oleh bank pusat terus mengekalkan kecenderungan risiko ke arah kenaikan,” katanya.
Para pedagang kini menunggu bacaan akhir Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)AS bagi suku ketiga, tuntutan awal pengangguran mingguan serta data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), yang dijadualkan diumumkan lewat Khamis.
Sekiranya data tersebut lebih lemah daripada jangkaan, ia boleh menekan dolar AS dan seterusnya menyokong harga komoditi yang diniagakan dalam denominasi dolar AS. – AGENSI










