KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan persempadanan maritim antara Malaysia dan Singapura mestilah berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia merangkumi undang-undang laut, sebagai asas kepada rundingan persempadanan maritim.
“Jika maritim sempadannya, maka kita perlu berlunaskan kepada Undang-Undang Laut. Itu asas kita dan kita berasaskan rundingan berasal kepada undang-undang antarabangsa.
“Jadi, apa jua keputusannya nanti, kita sentiasa mengambil kira hak kedaulatan negara,” katanya bagi menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) meminta menteri menjelaskan status terkini berkenaan isu rundingan Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Mohamad berkata, rundingan berkaitan persempadanan maritim antara Malaysia dan Singapura sedang berjalan dan diuruskan dengan baik mengikut kerangka undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, rundingan berkenaan melibatkan beberapa kawasan sempadan maritim antara kedua-dua negara dan dilaksanakan secara berperingkat menerusi saluran rasmi yang ditetapkan.
“Rundingan sempadan maritim khususnya antara Malaysia dan Singapura sedang dilaksana dan diurus dengan baik. Baru semalam, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim berunding dengan pihak Singapura.
“Rundingan-rundingan ini bukan satu sahaja, ia banyak. Kawasan-kawasan yang merupakan kawasan sempadan maritim antara kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN










