PETALING JAYA: Kerajaan perlu memanfaatkan bangunan-bangunan kosong yang tidak lagi digunakan dengan menjadikannya sebagai kolej atau asrama pelajar bagi menangani masalah kekurangan tempat tinggal dalam kalangan mahasiswa, khususnya di bandar utama.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyokong inisiatif tersebut sebagai salah satu penyelesaian kepada isu penginapan pelajar.
“Dari aspek keselamatan, MBM menegaskan bahawa pematuhan piawaian keselamatan, kebakaran, struktur bangunan dan kawalan akses mesti menjadi prasyarat utama sebelum sebarang penempatan pelajar diluluskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kekurangan penginapan pelajar di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru dan Pulau Pinang membebankan mahasiswa serta ibu bapa, terutamanya golongan B40 dan M40.
“Kos sewaan yang tinggi bukan sahaja menjejaskan perbelanjaan asas, malah memberi kesan langsung kepada kesihatan mental, fokus akademik dan kualiti hidup pelajar. Dalam jangka panjang, situasi ini boleh melebarkan jurang akses pendidikan tinggi yang saksama,” katanya.
MBM mencadangkan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan mempercepat pelaksanaan inisiatif penyediaan penginapan dengan menetapkan garis masa jelas.
“Wujudkan juga model rujukan (framework) yang terperinci, peraturan keselamatan yang konsisten dan mekanisme pemantauan berkala, serta membuka ruang dialog dengan universiti, pelajar dan komuniti,” katanya.
Sementara itu, seorang mahasiswa universiti awam, Farah Nor Hidayah Md. Jaffar berkata, isu kekurangan kolej kediaman sering berlaku setiap semester walaupun permohonan dibuat awal.
“Bila universiti dekat bandar, masalah ini jadi lagi teruk sebab kos hidup makin tinggi dan macam saya yang kurang mampu memang rasa tertekan sebab pilihan sangat terhad.
“Selain sewa, kena fikir bil elektrik, air, internet dan kos ulang-alik ke kampus. Ada yang terpaksa cari rumah jauh semata-mata nak sewa murah, tapi akhirnya duit habis pada tambang dan masa pun banyak terbuang,” katanya.
Farah berkata, cadangan memanfaatkan bangunan kosong adalah masuk akal sekiranya ia dibaik pulih dan dijamin selamat.
“Sekurang-kurangnya ada tempat tinggal daripada terpaksa menyewa di luar pada kadar tinggi,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Nur Hidayah Nahar Azman berkata, cadangan tersebut bukan satu pilihan yang realistik dari segi pengurusan dan keselamatan.
“Pada pandangan saya, pengurusan penginapan pelajar wajar dikendalikan sepenuhnya oleh pihak universiti itu sendiri,” katanya.
Beliau turut mendakwa wujud isu ketidakadilan dalam penempatan kolej kediaman apabila pelajar M40 dan T20 memperoleh tempat, sedangkan pelajar B40 tercicir dipercayai akibat faktor ‘orang dalam’.
Katanya, pihak universiti perlu menjalankan proses saringan yang lebih telus dan adil dengan memberi keutamaan kepada pelajar kurang berkemampuan bagi mengurangkan beban kos sara hidup. – UTUSAN











