PETALING JAYA: Struktur pendidikan rendah anak-anak yang memulakan Tahun Satu pada umur enam tahun tidak berubah sebaliknya kekal iaitu enam tahun pembelajaran dan peringkat menengah selama lima tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, murid enam tahun yang memasuki Tahun Satu mulai tahun depan dijangka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 16 tahun sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Katanya, inisiatif mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun Satu bukan suatu perkara baharu sebaliknya telah dilaksanakan di kebanyakkan negara.
“Memang sudah ada anak-anak kita ambil pada umur ini.
“Ia setelah ada anak-anak kita yang sudah bersedia lebih awal daripada umur dia,” katanya pada sidang media selepas hadir Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di Alor Kedah, semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2034 di bawah Kementerian Pendidikan antaranya kemasukan ke tahun satu persekolahan pada usia enam tahun.
Perkara lain termasuk prasekolah diawalkan pada usia lima tahun mulai tahun hadapan, sementara Matriks Pembelajaran Malaysia diperkenalkan untuk mentaksir pembelajaran bagi murid tahun empat dan tingkatan tiga.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kemasukan ke tahun satu untuk murid seawal usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027 hanya kepada mereka yang layak dan melepasi kriteria ditetapkan dalam ujian diagnostik.
Katanya, ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak mereka pada usia itu perlu mendaftar untuk menduduki ujian saringan tersebut terlebih dahulu.
Beliau berkata, kriteria dan maklumat lanjut berkaitan ujian diagnostik tersebut akan diperincikan Kementerian Pendidikan tidak lama lagi.
“Sekali lagi saya tegaskan, pertama jangan panik, itu paling penting. Kena tenang dan lihat ia sebagai satu pembaharuan dalam sistem pendidikan dan ia bukan asing di negara lain yang telah pun melaksanakannya dan sebab itu kita mulakan dengan tidak wajib
“Ia adalah pilihan tetapi pilihan pun kita tak bagi ia kebebasan kepada ibu bapa begitu sahaja, ia mesti datang dengan kebersediaan anak dan yang paling penting sokongan di peringkat KPM yang kita namakan sebagai ujian diagnostik,” katanya.
Fadhlina berkata, tujuan ujian diagnostik itu adalah untuk mengenal pasti kebersediaan murid dari segi emosi dan tahap kemahiran sama ada boleh berada dalam kelas tahun satu dan bermula sebagai pilihan secara sukarela.
Dalam pada itu, beliau berkata, bilangan guru, sekolah dan kemudahan semasa juga mencukupi untuk menampung pendaftaran kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu setelah pihaknya mengkaji keperluan perkara itu.
Katanya, langkah itu juga adalah pilihan bukan mandatori dan akan dilaksanakan di sekolah yang mempunyai kemudahan serta sokongan yang sesuai untuk menerima murid tambahan.
“Kita juga sudah buat persediaan untuk mendirikan kelas-kelas secara Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang boleh siap dalam tempoh singkat kerana kita dah ada pengalaman itu untuk mengatasi sekolah padat yang mana lebih 100 sekolah di seluruh negara menggunakan konsep IBS,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan berkongsikan soalan lazim berhubung pelan tersebut di mana kemasukan ke Tahun Satu pada umur tujuh tahun kekal sebagai laluan standard dan majoriti murid akan mengikutinya.
Katanya, kemasukan awal pada umur enam tahun adalah pilihan secara sukarela tertakluk kepada kesediaan kanak-kanak dan pilihan ibu bapa tanpa paksaan kepada kedua-dua pihak, bukannya secara automatik.
“Kesediaan kanak-kanak merujuk kepada kanak-kanak yang telah mengikuti prasekolah pada umur lima tahun dan lulus saringan diagnostik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan untuk menilai tahap kesiapsiagaan pembelajaran kanak-kanak terhadap pembelajaran formal,” katanya.
Kementerian Pendidikan berkata, pembelajaran asas kanak-kanak tidak akan terjejas kerana pihaknya menyediakan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi sejajar asas literasi, numerasi dan kemahiran pembelajaran murid tidak terjejas dan pembelajaran disesuaikan dengan tahap kognitif masing-masing.
“Kurikulum ini memastikan semua murid termasuk yang memasuki Tahun Satu pada umur enam tahun berupaya menguasai kemahiran asas sebelum meneruskan pembelajaran ke tahap seterusnya,” katanya.-UTUSAN











