KUALA SELANGOR: Kerja-kerja menaik taraf Jalan Bukit Cherakah dekat Puncak Alam kepada enam lorong dua hala dijangka siap pada tahun hadapan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Shukri Ishak berkata, kerja penaiktarafan itu dilakukan secara berperingkat melibatkan kawasan pembangunan milik tiga pemaju.
Katanya, kesesakan yang berlaku ketika ini terutama di persimpangan berhampiran kawasan perumahan LBS Perdana adalah susulan kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan.
“Penaiktarafan itu dilaksanakan berdasarkan penilaian impak trafik di kawasan tersebut apabila unjuran bilangan penduduk di sana melebihi 150,000 menjelang 2030.
“Sepanjang kerja-kerja menaik taraf jalan tersebut. JKR Selangor menggariskan beberapa langkah mitigasi jangka pendek dan panjang mengambil ira penutupan persimpangan lampu isyarat di Aquila Taman Alam Sutera,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, unjuran tersebut berdasarkan Penilaian Impak Trafik (TIA) oleh syarikat AZ Traffic Management Consult yang dilantik oleh pemaju di kawasan berkenaan sebagai syarat dalam permohonan pembangunan di tepi jalan.
Februari tahun lalu jalan tersebut dilaporkan mengalami kesesakan luar biasa dan menjejaskan lebih 5,000 penduduk di sekitar Jalan Meru Tambahan-Bukit Cherakah serta Bandar Puncak Alam. – UTUSAN











