KUALA LUMPUR: Golongan komorbid atau mereka yang menghidap pelbagai penyakit kronik disarankan untuk sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik.
Mereka yang berisiko tinggi juga diingatkan tidak sesekali menangguhkan janji temu bersama doktor hanya disebabkan takut dijangkiti Covid-19 ketika berada di luar bagi mendapatkan pemeriksaan atau rawatan susulan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kesihatan dan pekerjaan, Fakulti Perubatan, Kolej Universiti Manipal Malaysia, Prof. Dr. G. Jayakumar berkata, jika ada yang enggan berjumpa doktor sedangkan penyakit dihidapi berada pada tahap kritikal, dibimbangi masalah lebih teruk akan berlaku.
“Golongan ini sangat berisiko lebih-lebih lagi jika ada yang belum mendapatkan vaksin Covid-19. Jadi, saya menasihatkan pesakit tidak membatalkan atau menangguhkan janji temu.
“Ikut jadual yang sudah ditetapkan oleh doktor. Sekecil-kecil gejala yang dialami pun jangan teragak-agak berjumpa doktor. Wabak pun kita tidak pasti bila akan berakhir, takkan sampai bila-bila mereka tak mahu berjumpa doktor.
“Jika sudah mendapat jangkitan, proses pemulihan mereka mengambil masa yang lama kerana sudah ada pelbagai jenis penyakit yang dihidapi oleh seseorang pesakit,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba semalam berkata, sebanyak 88 peratus jumlah kematian akibat Covid-19 membabitkan pesakit yang ada satu atau lebih penyakit berbanding kes kematian tanpa komorbid.
Antara komorbid yang tertinggi berkaitan kematian Covid-19 adalah tekanan darah tinggi (64 peratus), penyakit kencing manis (49 peratus), penyakit buah pinggang kronik (20 peratus) dan penyakit jantung (19 peratus).
Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, jumlah bilangan pesakit komorbid bukan perkara yang perlu dibimbangkan.
Asalkan, kata beliau, semua pihak termasuk golongan komorbid sendiri mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih berdisiplin.
“Adalah biasa untuk sesiapa pun menghidapi penyakit kronik seperti diabetes yang berisiko mendapat jangkitan lebih teruk. Cuma paling utama adalah semua orang kena faham tentang pencegahan penyakit dan lebih berwaspada.
“Tidak bermakna seseorang itu sihat maka dia bebas daripada sebarang jangkitan. Orang yang tiada komorbid juga berisiko untuk mendapat jangkitan dan boleh mati,” katanya. – UTUSAN ONLINE










