PARLIMEN: ASEAN tidak memperaku pilihan raya Myanmar

PARLIMEN: ASEAN tidak memperaku pilihan raya Myanmar

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN memutuskan untuk tidak menghantar pemerhati dan tidak memperakukan pilihan raya yang dijalankan oleh junta tentera Myanmar kerana tidak memenuhi syarat penyertaan bebas dan menyeluruh.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia berpegang teguh kepada keputusan itu dan menekankan bahawa pendirian ASEAN bersifat jelas dan konsisten.

“Pilihan raya Myanmar dijalankan secara berfasa dengan fasa ketiga dijangka berlangsung tidak lama lagi.

“Malaysia tidak menghantar pemerhati ke pilihan raya fasa pertama kerana proses itu tidak melibatkan penyertaan penuh dan bebas. Pendekatan ini selaras dengan keputusan ASEAN semasa Sidang Kemuncak Ke-47 pada Oktober 2025,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, isu Myanmar bukan sekadar masalah dalaman negara itu, tetapi telah menjadi isu serantau yang turut melibatkan pelarian Rohingya, isu sempadan serta peluang pekerjaan di negara jiran seperti Thailand dan Kemboja.

“Semua isu ini perlu ditangani secara kolektif melalui ASEAN, bukan secara individu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, ASEAN mengutamakan mekanisme ASEAN-led dalam menangani isu Laut China Selatan bagi memastikan semua negara anggota menyelesaikan pertikaian secara bersama.

“Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dijangka dapat diputuskan pada tahun ini dalam usaha menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×