Suami imamkan solat jenazah Nadia Kesuma di Jeddah

Suami imamkan solat jenazah Nadia Kesuma di Jeddah

JENAZAH Nadia Kasumawati (gambar kecil) disembahyangkan Masjid Al Thaniyan, Jeddah, Arab Saudi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suami kepada pelakon, Nadia Kasumawati Abdul Karim, 50, mengimamkan solat jenazah isterinya sebelum Allahyarham dikebumikan di Pusat Perkuburan Dahaban, Jeddah, Arab Saudi semalam.

Prof. Dr. Muhammad Ka­marul Kabilan Abdullah, 57, berkata, Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 7.35 pagi (waktu tempatan) mengikut ketetapan pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurutnya, sebelum itu, kira-kira 500 jemaah hadir untuk solat jenazah pelakon tersebut di Masjid Al Thaniyan, Jeddah.

“Jenazah sudah dimandikan oleh anak (Sarah dan kawan arwah) dan sudah disembahyangkan, diimamkan sendiri oleh saya (di Masjid Al Thaniyan, Jeddah), Alhamdulillah.

“Kira-kira 500 jemaah menunaikan solat jenazah buatmu selepas Subuh. Sekiranya saya nanti mendapat separuh daripada jumlah itu, ia sudah memadai.

“Walaupun saya gembira untukmu, kesedihan masih menyelubungi diri kerana kita semakin hampir ke rumah baharumu.

“Tempat persemadian baharu mu, sayang. Secara rasmi dise­madikan pada 7.35 pagi di Dahaban New Cemetery,” dalam catatan beliau di Facebook miliknya semalam.

Beliau turut menyifatkan Allahyarham seorang isteri yang bekerja keras, berkorban dengan keringat serta air mata demi dirinya dan anak-anak.

“Kamu berhak untuk berehat, setelah sekian lama mencurahkan kasih sayang dan kebaikan kepada keluarga, sahabat serta jiran-jiran.

“Sekarang, biarlah Allah melayani dan membalas segala kebaikan, kasih dan sayang yang telah engkau curahkan kepada saya, anak-anak, keluarga, rakan dan jiran selama ini. Amin.

“Malah, ‘rumah baru’ awak lebih sejuk kerana 22 darjah Celsius. Kamu selalu cakap pada Sarah (anak) cuaca di Malaysia terlalu panas,” katanya.

Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk menunaikan umrah dan ziarah yang turut melibatkan destinasi termasuk London dan Paris, anjuran sebuah agensi pelancongan.

Allahyarham dijadualkan me­neruskan penerbangan ke London selepas transit selama beberapa jam di Jeddah namun tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, pada Ahad lalu, suami Allahyarham mengesahkan pemergian isterinya akibat sakit jantung pada 15 Januari lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×