JPN, PPD diberi mandat rangka taktikal dan operasi - Utusan Malaysia

JPN, PPD diberi mandat rangka taktikal dan operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah diberi mandat merangka rancangan taktikal dan operasi bagi menjayakan bidang pendidikan.

Inisiatif itu merupakan antara tujuh Teras Strategik dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, demi memastikan sistem pendidikan yang inklusif, dinamik dan relevan serta mengoptimumkan potensi setiap murid.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, JPN dan PPD perlu meneliti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman pendidikan di negeri serta daerah masing-masing bagi membina rancangan taktikal.

MOHD. AZAM AHMAD

“Sekolah pula, dengan konsultansi PPD, akan membangunkan rancangan operasi berdasarkan kekuatan dan peluang yang ada, sekali gus mewujudkan kesinambungan gerak kerja dari peringkat atas ke bawah atau sebaliknya, serta mengelakkan pertindihan tugas dan beban kerja tidak berkesan.

“Penjajaran rancangan ini merupakan suatu gerak kerja yang berangkai. Kejayaan rancangan strategik dan ranca­ngan taktikal adalah apabila rancangan operasi dilaksanakan dengan jaya,” katanya.

Mohd. Azam mengulas Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dilancarkan hari ini yang menggariskan pelan strategik pendidikan nasional merangkumi keseluruhan ekosistem daripada peringkat sekolah sehingga universiti.

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 orang pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan merupakan dokumen utama pembangunan pendidikan tinggi dan pemerkasaan peranan Malaysia sebagai hab penyelidikan serantau.

RPM 2026-2035 yang di­terajui KPM pula menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara, selaras dengan visi ‘Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera’.

Mohd. Azam berkata, kerajaan turut memperkenalkan Sasaran Wajib Capai iaitu senarai impak yang mesti berlaku apabila murid menamatkan tempoh persekolahan mereka.

“Sasaran Wajib Capai ini merupakan kesungguhan dan komitmen KPM, JPN, PPD dan sekolah kepada masyarakat berkaitan pendidikan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, secara da­sarnya RPM 2026-2035 akan memastikan murid mendapat akses saksama yang membawa kepada peningkatan mutu pe­ngajaran dan pembelajaran.

Katanya, pendekatan itu menjadi teras kepada ranca­ngan 10 tahun itu yang dibangun berlandaskan cabaran semasa dan keperluan dekad akan datang.

“Ia khususnya ketika negara melangkah masuk ke era digital melibatkan sistem penga­turcaraan, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

“RPM menetapkan beberapa tumpuan utama iaitu kualiti; akses dan ekuiti; ketersediaan sumber dan kecekapan serta keluwesan (fleksibel) serta kemampanan, yang menjadi asas jelas dalam merangka semua inisiatif dan program pendidikan.

“Selain memastikan akses saksama dan peningkatan kualiti pengajaran dan pem­belajaran, setiap inisiatif perlu mengambil kira ketersediaan sumber serta menyokong kecekapan gerak kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×