SEPANG: Oriental Kopi Holdings Bhd. (Oriental Kopi), pengendali rangkaian kafe makanan dan minuman terkemuka melancarkan cawangan terbaharunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) di sini hari ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj berkata, kehadiran Oriental Kopi di KLIA1 penting bagi menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Beliau berkata, KLIA1 ialah pintu masuk utama Malaysia yang menyambut jutaan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun.
“Kehadiran Oriental Kopi di lokasi strategik ini membolehkan pelancong merasai cita rasa Malaysia sebaik sahaja tiba, serta membawa pulang pengalaman tersebut sebagai kenangan.
“Budaya kopitiam telah lama berakar sebagai identiti tempatan yang mencerminkan perpaduan dalam kepelbagaian, apabila pelbagai komuniti berkongsi meja dan rasa di bawah satu bumbung.
“Melalui Oriental Kopi, semangat ini diterjemahkan di KLIA1 pada skala global, apabila pelancong dari seluruh dunia menikmati hidangan ikonik Malaysia seperti nasi lemak, kari laksa dan char kuetiau, menjadikan makanan sebagai medium untuk berkongsi rasa Malaysia sebenar dengan dunia,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Oriental Kopi di KLIA1.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Tengku Hishammuddin Zaizi berkata, cawangan itu turut menawarkan produk cenderamata seperti kopi putih, kaya dan sambal nasi lemak yang dipilih khusus sebagai wakil cita rasa autentik Malaysia dan sesuai dibawa pulang oleh pelancong.
Beliau berkata, Oriental Kopi telah membina jenama yang kukuh melalui komitmen terhadap kualiti dan keaslian.
“Restoran ini digemari oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang serta semakin dikenali dalam kalangan pelancong antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










