TELUK INTAN: Permintaan terhadap telur itik masin meningkat menjelang bulan Ramadan, menyebabkan seorang pengusaha di Kampung Sungai Suli, Kampung Bahagia di sini, tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.
Pengusaha telur itik masin, Normurni Jamaludin, 48, berkata, permintaan pada Ramadan kali ini melonjak sehingga 7,000 biji seminggu berbanding sekitar 4,000 biji pada bulan-bulan biasa.
Menurutnya, peningkatan tersebut didorong permintaan tinggi pelanggan tetap dan peniaga makanan yang menggunakan telur masin sebagai bahan utama juadah berbuka puasa.
“Pada Ramadan ini, saya perlu memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Alhamdulillah bekalan telur itik mencukupi kerana ladang kami mempunyai lebih 2,000 ekor itik,” katanya ketika ditemui di ladang itiknya di Sungai Suli, Kampung Bahagia di sini.
Normurni berkata, pada Ramadan sebelum ini dia terpaksa menolak sebahagian tempahan berikutan kekurangan tenaga kerja untuk memproses telur masin.
“Sekarang ini saya dibantu oleh dua orang pekerja sekali gus membolehkan kami menyiapkan tempahan tanpa mengecewakan pelanggan,” katanya.
Menurutnya, dengan kerjasama suaminya, Mohamad Roslan Ishak, 52, telur masin yang dihasilkan diedarkan ke beberapa daerah termasuk Bagan Datuk, Tapah, Manjung dan sekitar Teluk Intan selain ke pasar serta kedai-kedai runcit.
Katanya, persediaan awal dibuat bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang Ramadan.
“Proses pembersihan telur dilakukan secara teliti bagi mengelakkan bau hanyir sebelum dijemur selama sehari dan diperam dalam air garam antara lapan hingga 14 hari.
“Telur itik yang lemak dan tidak terlalu masin paling mendapat sambutan. Ada pelanggan yang datang sendiri untuk membeli dan ada juga yang kami hantar terus,” katanya. – UTUSAN











