RANTAU PANJANG: Pelajar Malaysia yang menetap di Golok, Thailand yang dahulu menggunakan pangkalan haram kini semakin selesa merentas sempadan menerusi laluan sah untuk berulang-alik ke sekolah, di sini setiap hari.
Sejak larangan merentas sempadan menggunakan pangkalan haram dikuatkuasakan 1 Disember 2024, semua pelajar termasuk penduduk di kedua-dua negara perlu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang bagi urusan keluar masuk secara harian.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelajar menyesuaikan rutin harian dengan prosedur imigresen termasuk urusan cop pas sempadan malah ada yang berbasikal, berjalan kaki dan membonceng rakan merentasi pintu sempadan setiap hari.
Seorang pelajar tingkatan lima yang mahu dikenali sebagai Syafiqah, 17, berkata, pada peringkat awal dia berasa kekok menggunakan laluan rasmi, namun kini sudah biasa.
Katanya, walaupun terpaksa berjalan sejauh hampir dua kilometer untuk merentas sempadan, dia tetap bersemangat bagi memastikan tidak ketinggalan dalam pelajaran.
“Kebiasaannya saya bertolak pada pukul 7 pagi. Jika ICQS sesak, saya mungkin lewat sampai ke sekolah. Kerap juga saya lewat sampai ke sekolah kerana tersangkut urusan cop pas sempadan di ICQS Rantau Panjang,” katanya.
Sebeum ini, kerajaan melarang aktiviti rentas sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember 2024 dan terpakai semua penduduk termasuk pelajar.
Seorang lagi pelajar, Nur Hidayati, 16, berkata, dia keluar dari rumah lebih awal bagi mengelak tiba lewat ke sekolah.
Katanya, urusan mengecop pas sempadan mengambil masa dan bergantung kepada jumlah pengguna pada hari berkenaan.
“Waktu pagi ibu atau ayah yang menghantar saya manakala semasa pulang dari sekolah saya berjalan kaki melepasi sempadan ini,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa dikenali sebagai Razali, 50, berkata, sudah setahun anaknya berulang-alik dari Golok ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.
“Kami akur dengan undang-undang selepas pangkalan haram ditutup. Sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di Golok, kami perlu melalui ICQS.
“Bagaimanapun, kami berdepan masalah apabila helaian buku pas sempadan cepat penuh. Sepatutnya pas sempadan itu boleh digunakan dalam tempoh setahun. Disebabkan urusan keluar masuk dilakukan setiap hari, helaian kertas itu cepat penuh dan dalam tempoh sebulan sudah perlu membuat pas sempadan baharu,” ujarnya.
Razali berharap pihak berkaitan dapat melonggarkan urusan pelajar yang berulang-alik ke sekolah di Malaysia, termasuk cadangan cop sempadan dilakukan sebulan sekali. – UTUSAN











