PETALING JAYA: Kecacatan bayi dan kelahiran pramatang di Gaza melonjak lebih 60 peratus berbanding kadar normal sebelum perang, sekali gus memburukkan lagi krisis kesihatan ibu dan kanak-kanak di wilayah itu.
Wanita Malaysia yang pernah terkandas di Khan Yunis, Gaza, Nurul Ain Haron berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 48,500 kelahiran direkodkan membabitkan 49,180 bayi, termasuk 4,900 bayi dengan berat badan tidak normal dan 4,000 kelahiran pramatang.
“Peningkatan ini tidak pernah berlaku pada skala sebelum perang, khususnya pada tahun 2022. Keadaan kesihatan ibu dan bayi semakin merosot sejak konflik berterusan melanda Gaza,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nurul Ain berkata, perang menjadi punca utama kemerosotan kesihatan wanita hamil, termasuk kesan penyedutan habuk dan serbuk bedil daripada roket, selain kekurangan zat makanan dan kebuluran yang menjejaskan perkembangan janin dalam kandungan.
“Wanita di Gaza kini terdedah kepada pencemaran, kekurangan nutrisi dan tekanan hidup yang melampau. Penyebaran kumbahan dan kekurangan kebersihan di dalam khemah perlindungan turut meningkatkan risiko penyakit kepada ibu dan bayi,” katanya.
Nurul Ain berkata, seramai 31 penduduk Palestin syahid termasuk 24 mangsa akibat bangunan runtuh manakala tujuh lagi meninggal dunia kerana kesejukan melampau ketika suhu di Gaza mencecah sekitar 12 darjah Celsius atau lebih rendah pada waktu malam.
“Bangunan runtuh kerana struktur sudah rosak akibat bekas serangan bom dan tidak lagi kukuh, ditambah pula ribut serta hujan sejak kebelakangan ini,” katanya.
Katanya, bantuan musim sejuk masih jauh daripada mencukupi apabila kebanyakan sempadan ditutup, sekali gus menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas.
“Beberapa minggu lepas memang ada bantuan masuk, tetapi kurang daripada 50 trak dan kebanyakannya pula adalah trak komersial, bukan bantuan kemanusiaan. Rakyat di sini masih sangat memerlukan selimut, pakaian tebal dan makanan,” katanya.
Bagaimanapun, Nurul Ain yang kini menetap di Dubai bersama suaminya turut memaklumkan, keluarga suaminya berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Keluarga kami di Gaza alhamdulillah dalam keadaan baik, cuma masih kekurangan makanan, namun itu perkara biasa,” katanya. – UTUSAN











