Rangka prasejarah Gua Chawan sepadan manusia moden

Rangka prasejarah Gua Chawan sepadan manusia moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANUSIA prasejarah di Gua Chawan, Lembah Nenggiri di Gua Musang dikenal pasti berketinggian antara 161 hingga 172 sentimeter.

Manakala, usia kematian pula dianggarkan antara 24 hingga 40 tahun.

Dapatan itu diperoleh pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil kajian ke atas empat rangka lelaki dan wanita.

Ini sekali gus menunjukkan struktur tulang dan ketinggian mereka hampir sama dengan manusia moden.

Ketua pasukan penyelidik, Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Ima Nirwana Soelaiman turut tidak menolak kemungkinan wajah mereka serupa dengan populasi hari ini.

Katanya, hasil penemuan itu tidak mengejutkan kerana manusia prasejarah sekitar 7,000 hingga 9,200 tahun lalu merupakan spesies homo sapiens, sama seperti manusia moden hari ini.

“Kajian dilakukan menerusi perbandingan dengan tulang manusia moden yang sepadan dari segi usia, jantina dan ukuran dengan keempat-empat rangka berkenaan.

“Kita dapati saiz, bentuk tulang dan anggaran ketinggian individu prasejarah ini lebih kurang sama dengan manusia moden.

“Penemuan ini turut menunjukkan yang status kesihatan tulang mereka pun tidak banyak berbeza dengan kita,” katanya selepas merasmikan Pameran Rangka Manusia Prasejarah di Muzium Anatomi dan Patologi UKM, baru-baru ini.

Antara penyelidik lain dalam pasukan itu ialah Prof. Madya Dr. Elvy Suhana Mohd. Ramli, Prof. Madya Dr. Chin Kok Yong, Dr. Fairus Ahmad dan Dr. Wong Sok Kuan.

Turut terlibat, pakar arkeologi, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli serta pakar odontologi forensik UKM, Dr. Nor Atika Md. Ashar.

Kajian itu melakar sejarah kerana merupakan yang pertama seumpamanya dijalankan di negara ini.

Walaupun sebelum ini beberapa rangka manusia prasejarah pernah ditemukan, termasuk Perak Man yang dianggap tertua, namun tiada kajian biologi tulang secara sistematik dibuat dengan manusia moden.

Kata Ima Nirwana, kaedah pengimejan tanpa musnah digunakan bagi menganalisis tulang-tulang tersebut.

Langkah itu bertujuan memastikan pemeliharaan optimum pada tinggalan prasejarah yang amat bernilai ini.

Antara teknologi yang digunakan ialah Dual-Energy X-ray Absorptiometry (DXA), Computed Tomography (CT) dan micro-CT.

Kekangan sampel rangka terhad
Antara kekangan yang dihadapi pasukan penyelidikan ialah saiz sampel rangka manusia prasejarah yang terhad.

Kebanyakan yang ditemukan dalam keadaan terlalu rapuh dan pecah, sekali gus tidak sesuai untuk diimbas.

Menurut Ima Nirwana, cabaran lain ialah untuk mendapatkan sampel rangka manusia moden yang sepadan bagi tujuan perbandingan.

Selain menggunakan sampel sedia ada di Jabatan Patologi fakulti berkenaan, mereka turut mendapatkan sampel daripada beberapa hospital di seluruh negara.

Bagaimanapun, tidak semua sampel sesuai dari segi umur, jantina dan etnik rangka-rangka tersebut.

“Sebagai contoh, bagi rangka perempuan, sampel yang digunakan perlu sepadan dengan ketinggian rangka prasejarah iaitu 161 sentimeter, berumur sekitar 30-an ketika meninggal dunia dan warga tempatan.

“Manakala bagi rangka lelaki, sampel perlu mempunyai ketinggian antara 163 hingga 172 sentimeter serta berumur sekitar 24 hingga 40 tahun ketika meninggal dunia,” katanya.

Ujarnya, kajian tidak boleh menggunakan sampel dari negara barat kerana ia tidak sepadan dengan kumpulan etnik rangka prasejarah.

Gigi lengkap tapi haus
Sementara itu, Nor Atika berkata, jantina dan anggaran umur rangka berkenaan ditentukan menerusi analisis gigi serta tulang rahang.

Katanya, gigi merupakan struktur paling tahan dan kekal terpelihara walaupun selepas kematian individu dalam tempoh yang panjang.

“Struktur gigi mereka lengkap, namun menunjukkan tahap kehausan yang ketara kerana pada zaman itu gigi digunakan untuk pelbagai fungsi.

“Bukan sahaja untuk makan, malah turut digunakan ketika memburu dan membuat alatan, sekali gus menyebabkan tahap kehausan gigi jauh lebih tinggi berbanding manusia moden,” katanya.

Katanya, pameran yang julung kali itu secara tidak langsung dapat memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai kesihatan, gaya hidup serta persekitaran hidup manusia prasejarah.

Menariknya, rangka-rangka itu disusun dalam bekas khas mengikut kedudukan ketika kali pertama mereka dijumpai.

Terdahulu, rangka prasejarah itu diekskavasi di Gua Chawan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN), Kementerian Pelancongan dan Budaya dari 2018 hingga 2023.

Gua batu kapur ini menjadi tapak arkeologi penting negara susulan penemuan 18 rangka manusia prasejarah dan pelbagai artifak purba.

Kawasan ini kini terlibat dalam projek pembinaan empangan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang bakal menenggelamkan gua-gua tersebut.

Sehubungan itu, aktiviti ekskavasi dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha pemindahan dan pemeliharaan warisan arkeologi negara, termasuk tinggalan rangka manusia prasejarah.


Proses cermat, elak tulang rapuh

Keseluruhannya, terdapat 18 rangka yang diekskavasi di Gua Chawan dalam tempoh lapan tahun ini.

Namun, hanya empat sahaja yang sudah dianalisis kumpulan penyelidik UKM.

Pengarah Bahagian Arkeologi, JWN, Rokiah Abdul Samat berkata, baki yang lain masih dalam proses konservasi, pembersihan dan penyusunan rapi

Katanya, setiap rangka tulang prasejarah itu perlu dibersihkan dahulu sebelum diserahkan kepada penyelidik.

Katanya, proses pengendalian juga perlu dilakukan dengan cermat mengikut kaedah ditetapkan disebabkan keadaan tulang yang rapuh serta peroi.

“Ini penting supaya tulang dapat sampai kepada penyelidik dalam keadaan baik untuk kajian lanjut.

“Antara kaedah yang dilakukan ialah meletakkan rangka tulang di dalam bekas khas dengan suhu 20 darjah Celsius di samping menggunakan kapas.

“Suhu tidak boleh berubah kerana ia boleh menyebabkan tulang berkulat dan sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×