Kolaborasi parti Melayu-Islam perlu diperjelas, elak rakyat salah tafsir

Kolaborasi parti Melayu-Islam perlu diperjelas, elak rakyat salah tafsir

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan kolaborasi agung parti Melayu-Islam perlu diperjelaskan secara berhati-hati bagi mengelakkan ia disalah tafsir rakyat sebagai langkah mengundur ke arah politik lama.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, usaha memulihkan sokongan masyarakat Melayu seharusnya digerakkan melalui pembaharuan menyeluruh bukannya menerusi pendekatan pengelompokan politik.

Menurut beliau, kebimbangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai sokongan orang Melayu serta keperluan memastikan kepentingan umat terus terpelihara adalah sesuatu yang wajar dan difahami.

“Saya memahami kebimbangan Ahmad Zahid berhubung kedudukan sokongan Melayu dan keperluan menjaga kepentingan umat. Namun dalam landskap politik semasa, orang Melayu tidak sekadar menuntut penyatuan berasaskan slogan.

“Sebaliknya, mereka menuntut penyelesaian sebenar terhadap isu kos sara hidup, peluang ekonomi, integriti kepimpinan serta jaminan masa depan generasi baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, pemulihan sokongan Melayu terhadap UMNO dan kerajaan akan lebih meyakinkan sekiranya dilaksana menerusi pembaharuan dasar, prestasi pentadbiran yang berkesan serta kejujuran politik.

Ketanya, sebarang pembentukan blok berasaskan identiti berpotensi menimbulkan keresahan dalam kalangan rakan kerajaan serta masyarakat majmuk.

“Kewujudan Kerajaan Perpaduan adalah berasaskan kesedaran bersama bahawa Malaysia tidak boleh terus dibangunkan melalui politik pengelompokan.

“Kekuatan kerajaan hari ini terletak pada kesediaan semua pihak untuk memerintah bersama walaupun berbeza latar belakang dan sejarah politik.

“Saya yakin Ahmad Zahid juga tidak akan membenarkan sebarang inisiatif, walaupun dengan niat yang baik, yang boleh mengaburkan komitmen bersama terhadap agenda perpaduan nasional yang sedang dibina dengan penuh usaha,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×