SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM140,000 bagi melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke negara ini, pada Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Penolong Pengarah, Mastura Aziz, 49, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan tersebut.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menerima suapan secara berperingkat antara RM12,500 hingga RM52,500 daripada seorang lelaki warga asing sebagai upah kepadanya yang ketika itu bertugas di Pejabat Imigresen, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Suapan tersebut didakwa sebagai upah melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh JIM.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar, stesen minyak di Persiaran Warisan Maju dan pusat beli belah di Sepang pada 3, 7, 11 dan 15 Mei 2025.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, anak guamnya tidak pernah gagal untuk hadir ke pejabat SPRM setiap kali dipanggil memberi keterangan.
“Ini menunjukkan dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan dia bersedia untuk memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan mahkamah,” katanya.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin termasuk melaporkan diri di Pejabat SPR pada setiap bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 25 Februari depan. – UTUSAN










