PETALING JAYA: Seramai 196 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, esok.
Proses pengundian awal itu dijadual berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan melibatkan satu saluran pengundian.
PRK Parlimen Kinabatangan bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru melibatkan Mohd. Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan calon Bebas, Goldam Hamid.
Bagi DUN Lamag pula, pertandingan satu lawan satu membabitkan calon BN, Mohd. Ismail Ayob dan Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.
PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari mengundi. – UTUSAN










