Titah Agong tumpuan sidang Parlimen bermula hari ini

Titah Agong tumpuan sidang Parlimen bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 bermula hari ini dengan tumpuan utama terarah kepada Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan mesyuarat berkenaan.

Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan Titah Diraja bagi merasmikan persidangan kedua-dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Inti pati Titah Diraja dijangka menyentuh pelbagai perkara penting termasuk pembangunan negara, kebajikan rakyat serta hal ehwal ekonomi selaras dengan permulaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 akan disiarkan secara langsung bermula pukul 10 pagi menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.

Sebelum penyampaian Titah Diraja di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong dijadual berangkat ke Dataran Parlimen bagi menerima Sembah Hormat Diraja oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan Jemaah Menteri dan ketua-ketua perwakilan asing turut dijadual menghadiri istiadat tersebut.

Berdasarkan takwim di laman web rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 20 hari akan dimulakan dengan pembentangan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, diikuti sesi perbahasan usul berkenaan selama tujuh hari bermula 20 Januari.

Persidangan kemudiannya diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri-menteri berkaitan pada minggu ketiga iaitu dari 4 hingga 10 Februari.

Takwim berkenaan turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain yang dijadual berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 23 Februari.

Berdasarkan takwim sama, Parlimen tidak bersidang pada 2 dan 3 Februari sempena Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam, selain pada 16 hingga 19 Februari berikutan sambutan Tahun Baharu Cina serta awal Ramadan pada minggu berkenaan.

Persidangan Dewan Negara pula dijadual berlangsung selama 13 hari bermula 23 Februari.

Sementara itu, pembentangan beberapa undang-undang baharu dijangka menjadi antara agenda utama persidangan Dewan Rakyat kali ini, termasuk RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×