361,384 peminjam tidak pernah bayar PTPTN

361,384 peminjam tidak pernah bayar PTPTN

NORLIZA ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 361,384 peminjam melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM5.13 bilion tidak pernah membuat sebarang bayaran balik kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Jumlah itu hakikatnya boleh menampung pembiayaan untuk tempoh dua tahun, sekali gus memberi kesan langsung terhadap dana pinjaman pendidikan negara.

Dengan anggaran purata pembiayaan sekitar RM15,000 hingga RM20,000 bagi seorang pelajar setahun, jumlah RM5.13 bilion itu secara realistik mampu membiayai ratusan ribu pelajar universiti awam (UA).

Sebaliknya, hanya 2.59 juta peminjam telah membuat bayaran balik keseluruhan pinjaman berjumlah RM25.97 bilion sehingga 31 Disember 2025. 

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, setiap tahun PTPTN memerlukan peruntukan kira-kira RM3 bilion bagi membantu 450,000 peminjam sedia ada serta 150,000 peminjam baharu mendapatkan pinjaman pendidikan.

“Setiap pembayaran balik bukan sekadar melunaskan hutang, sebaliknya merupakan pelaburan besar untuk masa depan pendidikan generasi seterusnya.

“Dana yang dikutip melalui pembayaran balik digunakan bagi membantu pelajar baharu, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, merealisasikan impian melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PTPTN yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) berfungsi untuk menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan mengutip bayaran balik pinjaman serta menyediakan skim simpanan untuk tujuan pendidikan tinggi.

Norliza berkata, pembayaran balik pinjaman adalah amat penting bagi memastikan kesinambungan dana pinjaman pendidikan pelajar sedia dan serta generasi akan datang demi tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.

Katanya, komitmen peminjam untuk melunaskan bayaran balik bukan sahaja membantu kelangsungan dana, malah memastikan peluang pembiayaan pendidikan tinggi dapat terus dinikmati oleh lebih ramai pelajar pada masa hadapan.

Beliau berkata, kesedaran peminjam terhadap kepentingan pembayaran balik pinjaman mencerminkan kefahaman bahawa dana PTPTN merupakan dana pusingan yang bergantung sepenuhnya kepada komitmen peminjam terdahulu.

“Bayaran balik oleh peminjam amat penting bagi memastikan kelestarian dana pinjaman untuk pelajar serta generasi akan datang, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran yang semakin positif terhadap tanggungjawab bersama,” katanya.

Norliza berkata, PTPTN sentiasa menggalakkan peminjam yang berdepan kekangan kewangan supaya tampil berbincang dan mendapatkan penyelesaian yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.

“Peminjam boleh berbincang atau berunding melalui penstrukturan semula pinjaman untuk pelan pembayaran fleksibel mengikut kemampuan kewangan menerusi inisiatif #PTPTNBolehBincang,” katanya.

Beliau menjelaskan, inisiatif berkenaan memberi ruang kepada peminjam untuk menyusun semula jadual bayaran balik agar lebih munasabah dan tidak membebankan, sekali gus mengelakkan peminjam daripada terus tercicir atau gagal melunaskan pinjaman.

Selain itu, PTPTN turut memperkenalkan inisiatif #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan urusan peminjam melalui pelbagai saluran perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

“Inisiatif ini bertujuan membantu peminjam berurusan dengan PTPTN tanpa perlu berdepan prosedur yang rumit, selain menyediakan khidmat nasihat dan sokongan secara berterusan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Belanjawan 2026 berkata, kerajaan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar dan bekerja di luar negara, tetapi culas membuat bayaran balik.

Selain itu, kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×