PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Papua New Guinea meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan dialog dasar bagi memperkukuh perdagangan dan pembangunan industri sawit antara kedua-dua negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Papua New Guinea, Richard Maru berkata, Papua New Guinea kini dalam fasa pembangunan rangka kerja bagi dasar kawal selia industri sawit.
Katanya, negara tersebut berhasrat menjadikan MPOB sebagai model rujukan atas kepimpinan Malaysia dalam aspek kemajuan R&D dan ketelusan sistem kawal selia industri sawit negara.
“Papua New Guinea telah merekodkan prestasi eksport yang memberangsangkan dengan jumlah keseluruhan nilai eksport produk sawit mencecah AS$2.2 bilion (RM8.9 bilion) pada 2025 dan sedang meneroka pendekatan terbaik bagi memajukan industri sawit tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan tersebut susulan kunjungan hormat delegasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Papua New Guinea di ibu pejabat MPOB di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, industri kelapa sawit kedua-dua negara harus bekerjasama secara kolektif di bawah platform Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Katanya, ini akan membolehkan negara pengeluar mengartikulasikan sumbangan sebenar industri kepada keselamatan makanan global, pembasmian kemiskinan dan pembangunan mampan; menangani salah tanggapan dan menggalakkan naratif berasaskan sains serta memperkukuh penglibatan kolektif dalam badan penetapan piawaian antarabangsa.
“Kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri sawti global adalah hasil keseimbangan antara produktiviti, R&D serta komitmen terhadap kemampanan dan sistem kebolehjejakan nasional yang kukuh,” ujarnya.
Pada 2025, jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke Papua New Guinea mencecah RM62.5 juta, peningkatan 1.2 peratus berbanding 2024.
Sebahagian besar eksport ini terdiri daripada produk minyak sawit yang diproses, terutamanya olein sawit Refined, Bleached and Deodorised (RBD), diikuti oleh minyak sawit RBD dan minyak masak.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB. Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir telah menyampaikan taklimat khas kepada delegasi Papua New Guinea mengenai fungsi dan peranan MPOB. – UTUSAN










