Verdant Solar fokus segmen kediaman

Verdant Solar fokus segmen kediaman

ZETH Lim ketika Majlis Pelancaran Prospektus Verdant Solar Holdings Berhad di Kuala Lumpur tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Verdant Solar Holdings Berhad (Verdant Solar) mengekalkan tumpuan strategiknya terhadap segmen kediaman bagi 2026 susulan potensi besar pasaran tenaga solar domestik yang masih belum diteroka sepenuhnya di Malaysia.

Pengarah Urusan Verdant Solar, Zeth Lim berkata, pelancaran inisiatif Solar ATAP oleh kerajaan baru-baru ini mengukuhkan lagi hala tuju syarikat dalam memperluaskan penggunaan sistem solar atas bumbung dalam kalangan isi rumah di peringkat nasional.

“Bagi 2026, fokus strategik Verdant Solar kekal tertumpu kepada segmen kediaman kerana kami melihat potensi pertumbuhan yang sangat besar dalam pasaran ini.

“Inisiatif Solar ATAP secara langsung menyokong peluasan penggunaan solar bumbung dan seiring dengan aspirasi peralihan tenaga negara.

“Pendekatan ini juga selari dengan pelan pengembangan perniagaan syarikat, dimana kami sedang menempatkan Verdant Solar dalam usaha memenuhi keperluan pangkalan pelanggan yang lebih pelbagai serta meraih pertumbuhan melalui peluasan perniagaan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Verdant Solar merupakan penyedia perkhidmatan menyeluruh Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) serta Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) bagi sistem Fotovolta Suria (Solar PV), di samping terlibat dalam perdagangan produk solar.

Menurut Lim, kedudukan tersebut membolehkan syarikat menterjemahkan dasar dan inisiatif kerajaan kepada pelaksanaan sebenar di lapangan, khususnya dalam sektor kediaman.

“Sejak ditubuhkan pada 2015, Verdant Solar telah membina rekod pencapaian yang kukuh dalam pemasangan sistem solar bumbung kediaman, selain mengembangkan operasinya ke segmen komersial dan perindustrian.

“Data National Property Information Centre (NAPIC) dan Sustainable Energy Information Portal (SEIP) menunjukkan kira-kira 98 peratus kediaman di Malaysia masih belum menggunakan tenaga solar, sekali gus mencerminkan tahap penembusan pasaran yang masih rendah.

“Dengan sokongan dasar seperti Solar ATAP serta peningkatan akses kepada pembiayaan, kami berhasrat memperluaskan model penyampaian yang telah terbukti berkesan bagi merebut peluang pasaran ini,” ujarnya.

Jelasnya, Verdant Solar mempunyai rekod pencapaian yang dibina berdasarkan pengalaman syarikat dalam melaksanakan projek sistem solar PV bagi hartanah kediaman, yang telah menyumbang kepada pertumbuhan mereka.

“Kami komited untuk melaksanakan pemasangan sistem solar PV dan memastikan sistem tersebut beroperasi sepenuhnya dalam tempoh 30 hari, bermula dari tarikh penerimaan deposit pemasangan daripada pelanggan kami.

“Sehingga tahun lalu, kami telah melaksanakan pemasangan projek sistem solar PV kediaman dengan kapasiti terkumpul sebanyak 70,096 kilowatt-peak (kWp) sejak 2020.

“Ini sekali gus membuktikan keupayaan kami dalam menyediakan projek sistem solar PV yang berkualiti serta disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×