REMBAU: Pengeluar produk salai tempatan, Taqdir Enterprise, menyasarkan pertumbuhan jualan lebih 50 peratus pada suku pertama 2026 selepas memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Disember 2025.
Pengurusnya, Mohammad Taqdir Sajin berkata, pensijilan halal memberi manfaat ketara termasuk peningkatan kepercayaan pengguna, proses pengeluaran yang lebih tersusun dan dijangka mencapai peningkatan jualan 100 peratus pada suku kedua 2026.
“Tumpuan kami bukan sekadar menjual produk, tetapi memastikan keseluruhan rantaian pengeluaran adalah teratur, sistematik dan diyakini pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketika ini, produk Taqdir Enterprise dipasarkan kepada restoran, kafe, pengusaha katering serta melalui Sabak Salai Shop dan akaun rasmi TikTok Sabak Salai.
Syarikat yang beroperasi sejak 2020 itu komited untuk menjadi pengilang makanan yang bertanggungjawab, dengan memastikan setiap produk dihasilkan secara bersih, selamat dan mematuhi keperluan syariah, selaras dengan prinsip fardu kifayah.
Antara produk utama Taqdir Enterprise ialah daging salai yang dijual pada harga RM98 sekilogram untuk pengusaha restoran, dada itik salai (RM20 satu paket) dan masak lemak cili api daging salai (sedia dimakan) pada harga RM20 satu paket.
“Pada masa ini, jualan bulanan syarikat mencecah kira-kira setengah tan daging salai, selain 100 pek dada itik salai dan 100 pek produk sedia dimakan sebulan.
“Bahan mentah diperoleh daripada pengimport daging sejuk beku, pembekal, pasar raya serta hasil pertanian penduduk kampung, bagi memastikan bekalan stabil dan berkualiti,” katanya.
Menurutnya, produk daging salai digunakan secara meluas oleh restoran, kafe, katering, kedai sendiri dan platform dalam talian, manakala dada itik salai sesuai untuk masakan tempatan dan barat. Produk sedia dimakan pula menyasarkan pengguna yang sering bermusafir.
Mohammad Taqdir berkata, usaha mendapatkan pensijilan halal memerlukan masa dan pelaburan kewangan yang besar, menyebabkan syarikat melakukan penambahbaikan kilang dan pembelian kelengkapan secara berperingkat.
“Permohonan halal didaftarkan secara dalam talian melalui My-eHalal pada 2020, dikemas kini pada Oktober 2025, diikuti audit panel halal pada November 2025 sebelum kelulusan diperoleh pada Disember 2025,” katanya.
“Dengan pensijilan halal yang diperoleh, syarikat menyasarkan untuk menembusi pasaran hotel, agensi pelancongan umrah dan haji serta pengilang makanan yang memerlukan produk salai bersijil halal,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Mohammad Taqdir berharap lebih ramai pengusaha makanan dan minuman tempatan tampil memohon pensijilan halal.
“Ia bukan sahaja tanggungjawab sebagai umat Islam, tetapi juga satu strategi perniagaan yang mampu meningkatkan kepercayaan pelanggan, meluaskan pasaran dan seterusnya meningkatkan jualan,” katanya. – UTUSAN









