Apakah keyakinan UMNO Kedah tanding solo?

Apakah keyakinan UMNO Kedah tanding solo?

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keyakinan UMNO Kedah untuk menang semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika bertanding solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dipersoal apabila tidak berasaskan fakta dan rekod sebenar pilihan raya terdahulu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, UMNO yang bertanding bersendirian pada PRU14 hanya memenangi tiga kerusi DUN iaitu Guar Chempedak, Sungai Tiang dan Bandar Baharu.

“Ketika itu UMNO belum kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan PH menang 18 kerusi sementara Pas dapat 15 kerusi. Bila UMNO kerjasama dengan DAP dan digelar ‘UMDAP’ serta menjalin pula kerjasama dengan PH, Barisan Nasional (BN) hilang semua kerusi.

“PH pun hanya tinggal tiga kerusi DUN dan satu Parlimen di Kedah, jadi beliau (Ahmad Bashah) rujuk rekod dan data yang mana? Dari mana datang keyakinan itu,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Khamis lalu,  Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 menyatakan UMNO mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi di Kedah pada PRU16 sekiranya parti itu bertanding secara solo.

Kata bekas Menteri Besar Kedah itu, keyakinan tersebut susulan orang Melayu dilihat menunjukkan sokongan semula kepada kepimpinan UMNO setelah pengundi mengakui kesilapan lalu.

Berhubung penolakan UMNO menyertai semula Muafakat Nasional (MN), Muhammad Sanusi percaya ia berkait dengan dilema pembahagian kerusi, memandangkan kebanyakan penyandang kerusi DUN di Kedah daripada Perikatan Nasional (PN).

“Kalau UMNO sertai MN, isunya kerusi mana dia nak minta? Semua kerusi ada penyandang PN yang menang majoriti solid.

“UMNO perlu bertanding solo terlebih dahulu untuk pastikan semua ‘warlord’ mereka ada kerusi untuk jadi calon. UMNO kalau tak ada jawatan tak boleh jadi calon, mereka tak boleh bernafas dalam politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×