Pra-eklampsia: ancaman kepada ibu hamil dan kandungan

Pra-eklampsia: Ancaman kepada ibu dan kandungan

Dr. Adila A.Hamid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gangguan tekanan darah tinggi semasa kehamilan adalah masalah kesihatan yang kian membimbangkan. Dalam dunia perubatan, keadaan ini dikenali sebagai gangguan hipertensi semasa kehamilan (HDP).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), HDP antara punca utama kematian ibu di seluruh dunia. Dianggarkan 80,000 wanita meninggal dunia setiap tahun akibat komplikasi tekanan darah tinggi semasa mengandung, manakala lebih 6 juta lagi berdepan risiko komplikasi serius seperti sawan dan kegagalan organ.

Di Malaysia, laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 menunjukkan, 6.5 peratus ibu hamil mengalami HDP dan peratusan ini dijangka meningkat sejajar dengan peningkatan umur perkahwinan, obesiti serta gaya hidup sedentari (lebih banyak duduk) dalam kalangan wanita moden.

Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Ahmad, Pensyarah dan Pakar Klinikal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan UKM, menjelaskan ramai ibu tidak menyedari mengalami tekanan darah tinggi ketika mengandung kerana pada peringkat awal, gejalanya tidak ketara.

“Selain itu, kebanyakan tidak mempunyai sejarah tekanan darah tinggi sebelum hamil. Inilah yang menjadikan pra-eklampsia berbahaya kerana ia bermula dalam diam tetapi boleh bertukar menjadi kecemasan dalam sekelip mata.

“Pra-eklampsia adalah bentuk HDP yang paling serius dan sering muncul selepas minggu ke-20 kehamilan atau dalam jangka masa enam minggu selepas bersalin. Ia dicirikan oleh tekanan darah tinggi dan kehadiran protein dalam air kencing (proteinuria),” katanya.

Katanya lagi, tanda-tanda awal ini sering disalah tafsir sebagai perkara biasa semasa mengandung, terutama jika tiada simptom utama seperti sakit kepala, mual dan muntah serta sakit ulu hati. Selain itu, kebanyakan tidak mengesyaki apa-apa apabila mengalami bengkak kaki, tangan atau muka.

Tanda-tanda ini mungkin tanda awal pra-eklampsia sekiranya disulami dengan darah tinggi dan proteinuria. Sekiranya pra eklampsia ini jelas berlaku, antara gejala utama adalah ibu hamil akan mengalami sakit kepala teruk, penglihatan kabur, sakit di atas perut dan peningkatan berat badan secara mendadak.

“Dalam kes yang parah, pra-eklampsia boleh menyebabkan sawan (eklampsia), koma atau kegagalan organ seperti hati dan buah pinggang. Pra-eklampsia yang tidak dirawat dari peringkat awal boleh membawa maut kepada ibu dan bayi.

“Dalam kes-kes serius, walaupun kita mampu selamatkan ibu, komplikasinya boleh menyebabkan kelahiran pramatang yang sangat kritikal menyebabkan tumbesaran terjejas atau pertumbuhan janin terbantut. Paling menyedihkan kematian bayi di dalam kandungan,” katanya.

Bayi berisiko maut

Pensyarah Jabatan Fisiologi Fakulti Perubatan UKM, Dr. Adila A.Hamid berkata, kajian antarabangsa menunjukkan bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan pra-eklampsia mempunyai risiko kematian neonatal 26 peratus lebih tinggi berbanding bayi daripada kehamilan normal.

“Lebih membimbangkan, penyelidikan dari Norway dan beberapa negara Eropah mendapati anak-anak kepada ibu pra-eklampsia mempunyai tekanan darah, indeks jisim badan (BMI) dan ukur lilit pinggang yang lebih tinggi apabila dewasa.

“Ini bermaksud, risiko untuk menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung meningkat sejak dari dalam kandungan.

“Persekitaran dalam rahim memainkan peranan penting dalam menentukan kesihatan anak sepanjang hayat.

Jika janin membesar dalam keadaan tekanan darah ibu tidak stabil, sistem saluran darah mereka mungkin turut ‘terprogram’ menjadi lebih sensitif kepada tekanan darah tinggi,” katanya.

Katanya lagi, dari sudut fisiologi, pra-eklampsia berpunca daripada gangguan pembentukan saluran darah di dalam uri. Biasanya, semasa kehamilan, saluran darah di uri akan berkembang bagi memastikan bekalan darah dan oksigen mencukupi untuk janin.

Namun dalam kehamilan pra-eklampsia, proses ini gagal berlaku dengan sempurna. Akibatnya, uri tidak mendapat aliran darah yang baik, lalu menghasilkan bahan toksik dan radikal bebas yang memasuki peredaran darah ibu.

“Bahan-bahan ini mencetuskan tindak balas keradangan dan merosakkan lapisan dalam saluran darah (endotelium), menyebabkan tekanan darah meningkat. Kerosakan ini bukan sahaja memberi kesan kepada ibu, malah mengganggu pertumbuhan jantung dan saluran darah bayi,” katanya.

Bahaya pra-eklampsia tidak berakhir selepas bayi dilahirkan. Walaupun tekanan darah ibu mungkin kembali normal, risiko jangka panjang masih ada.

Penyelidikan menunjukkan wanita yang pernah mengalami pra-eklampsia mempunyai risiko dua kali ganda untuk menghidap tekanan darah tinggi dan penyakit jantung dalam tempoh 5 hingga 15 tahun selepas bersalin.

Pemeriksaan antenatal dan gaya hidup sihat

Pemeriksaan antenatal berkala di klinik kerajaan atau swasta sangat penting untuk mengesan pra-eklampsia lebih awal. Bacaan tekanan darah dan ujian air kencing yang dilakukan setiap kali lawatan bukanlah formaliti semata-mata, tetapi merupakan langkah pencegahan utama.

“Ibu yang berisiko tinggi seperti mempunyai berat badan berlebihan, berumur lebih 35 tahun, mempunyai sejarah keluarga pra-eklampsia atau kehamilan pertama amat memerlukan pemantauan rapi.

“Selain itu, gaya hidup sihat sebelum dan sepanjang hamil turut memainkan peranan besar. Pengambilan makanan seimbang, kawalan berat badan, senaman ringan yang sesuai dan pengambilan asid folik serta kalsium yang mencukupi dapat membantu mengurangkan risiko.

“Kesihatan ibu adalah pelaburan jangka panjang untuk anak. Kehamilan yang sihat bukan hanya melahirkan bayi sihat tetapi juga membentuk generasi yang bebas daripada penyakit kronik,”katanya.

Katanya, walaupun maklumat kesihatan kini mudah diakses, tahap kesedaran mengenai pra-eklampsia masih rendah dalam kalangan masyarakat.

Ramai wanita lebih memberi tumpuan kepada ujian darah, vitamin atau persiapan kelahiran tetapi mengabaikan pentingnya pemeriksaan tekanan darah secara konsisten.

Ramai juga ibu menganggap pening atau bengkak kaki sebagai biasa. Sedangkan tanda kecil itu mungkin amaran awal kepada sesuatu yang lebih serius.

Kesimpulannya pra-eklampsia bukan sekadar masalah tekanan darah tetapi ancaman senyap yang boleh mengubah perjalanan hidup ibu dan anak. Namun, dengan pengetahuan, pemantauan rapi dan gaya hidup sihat, risiko ini dapat dikawal.

Kesihatan ibu semasa hamil bukan hanya menentukan keselamatan semasa kelahiran, tetapi juga mencorakkan kesihatan anak sepanjang hayat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×