Amirah Elena tidak malu gayakan fesyen 'dulu-dulu'

Amirah Elena tidak malu gayakan fesyen ‘dulu-dulu’

AURA Melayu klasik yang disulam elemen mistik menjadikan penampilan Amirah Elena Che Ramlan begitu mudah mencuri perhatian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dulu lagi, dunia fesyen dan wanita memang sukar dipisahkan. Apa yang digayakan bukan sekadar helaian kain, tetapi cerminan identiti, keyakinan dan cara seseorang mengekspresikan diri.

Seiring peredaran masa, fesyen turut berubah iaitu semakin subjektif, dipengaruhi budaya, keperluan dan trend semasa. Malah, ada yang beranggapan, jika tidak mengikut arus terkini, seseorang itu mudah dilabel ketinggalan zaman atau ‘buta fesyen’.

Namun bagi Amirah Elena Che Ramlan, tanggapan itu langsung tidak mengganggu pendiriannya.

Pempengaruh berusia 26 tahun ini memilih haluan berbeza dengan menjadikan gaya Melayu klasik sebagai identiti utama penampilannya, lengkap dengan sentuhan elemen mistik yang mencetus rasa ingin tahu ramai.

Dalam media sosial, dia lebih dikenali sebagai Silk Tuberose yang dikaitkan dengan bunga Harum Sundal Malam.

Mengakui gaya tersebut semakin sebati dengan dirinya, Amirah tidak kekok langsung menggayakan busana yang dianggap ‘zaman dulu-dulu’. Baginya, keindahan fesyen tidak terletak pada soal trend, sebaliknya pada keselesaan dan jiwa.

EKSPERIMEN FESYEN

Minat Amirah terhadap fesyen Melayu klasik bermula selepas dia menggayakan baju kurung, kebaya dan kain batik peninggalan arwah neneknya yang meninggal dunia tahun lalu.

Pada awalnya, koleksi busana itu hanya disimpan sebagai kenangan, namun lama-kelamaan ia menjadi medium eksplorasi fesyen buat dirinya.

“Saya mula pakai baju kedah dan kain batik arwah nenek di rumah. Tapi lama-kelamaan saya sedar, pakaian ini bukan sahaja selesa, malah boleh digayakan dengan pelbagai cara,” kongsinya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Media Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu kemudiannya memberanikan diri membawa gaya tersebut ke luar rumah. Dari beriadah, ke pasar hinggalah sekadar berjalan santai, busana klasik itu menjadi pilihan hariannya.

“Memang orang akan pandang bila saya keluar, tapi saya langsung tidak rasa malu. Malah, saya bangga dapat menggayakan fesyen warisan orang kita,” ujarnya.

Sebelum jatuh cinta sepenuhnya dengan gaya Melayu klasik, Amirah mengakui dia pernah mencuba pelbagai aliran fesyen moden termasuk gaya gothic, namun minat itu tidak bertahan lama.

Tidak menolak keindahan fesyen moden yang sarat dengan elemen kontemporari, namun baginya, Melayu klasik tetap paling dekat di hati.

Ditanya tentang elemen kegemarannya dalam fesyen Melayu klasik, gadis genit ini tidak berselindung menyatakan kebaya sebagai pilihan utama.

“Saya amat sukakan kebaya, terutamanya yang mempunyai elemen klasik yang sudah agak sukar ditemui pada masa sekarang,” katanya.

Menurut Amirah, kebaya yang diperbuat daripada kain sutera dengan pilihan warna gelap dan neutral lebih dekat dengan jiwanya, selain mampu menyerlahkan karakter yang dibawa dalam penampilannya.

“Saya gemar kebaya sutera dengan tona gelap dan neutral kerana ia secara tidak langsung menonjolkan lagi identiti dan aura diri saya,” ujarnya.

SUKAKAN ELEMEN MISTIK

Menjengah ke ruangan komen dalam media sosial, penampilan Amirah sering mengundang pelbagai reaksi. Rata-rata netizen menyifatkan gayanya sebagai menyeramkan, tetapi ada kelas tersendiri.

Mengulas perkara itu, Amirah tidak menafikan minatnya terhadap karakter yang berunsur seram dan penuh misteri.

Namun jelasnya, ia bukanlah bertujuan menakutkan sesiapa, sebaliknya lahir secara semula jadi.

“Ramai yang fikir saya sengaja buat-buat seram. Tapi sejujurnya, ini memang diri saya yang sebenar. Keluarga dan rakan-rakan pun sudah lama tahu dan mereka sudah terbiasa dengan penampilan saya,” katanya.

Jelas anak sulung daripada dua beradik itu, jika masyarakat dapat merasai dan melihat aura mistik yang dibawanya, itu bermakna pembawaan fesyen tersebut berjaya disampaikan dengan baik.

“Bila orang boleh nampak karakter itu, maksudnya fesyen yang yang bawa ini ‘hidup’ dan relevan,” ujarnya.

TIDAK PAKAI PENDAMPING, SUSUK

Sebagai figura yang tampil berbeza daripada kebiasaan, Amirah mengakui dia tidak terlepas daripada pelbagai gelaran dan tanggapan negatif. Namun, dia langsung tidak mengambil hati.

Baginya, reaksi sebegitu adalah perkara biasa apabila masyarakat berdepan sesuatu yang di luar norma.

“Ada yang pernah panggil saya ‘hantu Kak Limah’, kata saya pakai pendamping dan susuk. Tapi saya tak pernah terasa hati sebab mereka sebenarnya tidak kenal diri saya yang sebenar,” katanya.

Menegaskan pendiriannya, Amirah menjelaskan minat terhadap fesyen berunsur mistik tidak sama sekali bermaksud dia terlibat dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan agama.

“Saya sukakan estetika mistik, tapi itu tidak bermakna saya melakukan sesuatu yang melanggar syarak. Bagi saya, ia sekadar ekspresi fesyen dan karakter,” katanya.

Wanita muda itu itu turut berkongsi dia kerap membuat pendedahan mengenai karakter dan penampilannya menerusi sesi penstriman langsung di media sosial bagi mengelakkan sebarang salah faham.

Menurutnya, pendekatan tersebut membolehkan orang ramai mengenali dirinya dengan lebih dekat, sekali gus memahami dan menerima dirinya seadanya tanpa perlu membuat andaian sendiri.

IRAS SUZANNA, MONA FANDEY

Satu lagi perkara yang sering menjadi perbualan dalam kalangan netizen ialah dakwaan wajah Amirah yang dikatakan mempunyai iras pelakon legenda filem seram Indonesia, Suzanna.

Perbandingan itu kerap muncul, terutama apabila dia tampil dengan rambut panjang beralun dan solekan mata yang menonjolkan karakter misteri.

“Dengan rambut saya yang panjang dan ikal, saya faham kenapa ada yang kata wajah saya mirip Suzanna. Tambahan pula bila saya pakai celak di bahagian bawah mata, mungkin di situ persamaannya,” katanya.

“Apa yang dilakukan arwah Mona Fandey sudah pun diadili mengikut undang-undang. Jadi kalau ada yang kata wajah saya ada irasnya, saya tidak kisah. Pandangan orang ramai adalah subjektif,” jelasnya.

Bagi Amirah, segala perbandingan itu diterima sebagai sebahagian daripada perhatian yang datang bersama penampilan dan karakter unik yang dibawanya, tanpa perlu disalah tafsir atau diperbesarkan.

JADI PELAKON

Penampilan Amirah yang kian mencuri perhatian pelbagai pihak nyata membuka lembaran rezeki yang lebih luas buatnya. Aura klasik dan mistik yang menjadi identitinya menarik minat pengarah drama untuk menyuntingnya membintangi telefilem seram.

Bersesuaian dengan karakter yang dikaitkan dengannya, Amirah diberikan watak sebagai hantu, iaitu peranan yang ternyata dekat dengan jiwa dan pembawaannya.

Tanpa ragu, dia menyahut cabaran tersebut dan berusaha menjiwai watak itu sepenuh hati agar mampu meninggalkan impak kepada penonton.

Mengakui dirinya masih baharu dalam dunia lakonan, Amirah melihat peluang ini sebagai satu ruang pembelajaran dan pengalaman berharga. Dia juga tidak mahu terikat dengan satu jenis watak semata-mata.

“Saya masih belajar dan banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk menjadi pelakon yang versatil. Pada masa akan datang, saya terbuka dan bersedia untuk mencuba pelbagai watak lain,” katanya.

JENAMA SENDIRI

Bakal menggenggam ijazah sarjana dalam bidang penerbitan, Amirah turut menyimpan impian untuk melancarkan koleksi pakaian di bawah jenama sendiri.

Melalui jenama Silk Tuberose, wanita yang menetap di Kedah itu berharap dapat berkongsi minat dan cintanya terhadap fesyen dengan masyarakat.

“Saya memang sangat sukakan seni batik. Saya rasa sedih apabila melihat kain batik dijadikan alas kaki atau pengelap meja,” ujarnya.

Sehubungan itu, dia mahu pelihara warisan batik dengan cara lebih relevan dan mewah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×