KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya masyarakat berhenti menyalahkan individu yang mengalami obesiti kerana isu ini lebih kompleks daripada sekadar pilihan gaya hidup atau kurang bersenam.
Pakar Perundingan Endokrinologi dan Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS), Prof. Dr. Rohana Abdul Ghani berkata, obesiti merupakan gabungan faktor biologi, tingkah laku dan persekitaran, bukan semata-mata akibat kekurangan disiplin atau pilihan gaya hidup yang buruk.
“Malangnya, mereka yang obes sering disalahertikan, menyebabkan rasa bersalah dan stigma yang menambah cabaran dalam pengurusan berat badan.
“Dengan menggabungkan terapi perubatan, pendidikan, empati dan penjagaan multidisiplin, kita dapat menggalakkan pendekatan holistik yang membina ketahanan, mengurangkan stigma, dan menyokong individu mencapai peningkatan kesihatan berterusan,” katanya pada majlis pelancaran Ubat Obesiti Wegovy® (Semaglutide 2.4mg) oleh Nordisk, rawatan tambahan untuk dewasa yang obes atau berlebihan berat badan dengan sekurang-kurangnya satu komorbiditi berkaitan berat badan di sini hari ini.
Turut hadir Perunding Kanan Endokrinologi, Dr.Chan Siew Peng dan Pakar Perunding Kardiologi Kanan, Datuk Sri Dr. Azhari Rosman.
Data terkini daripada Tinjauan Kebangsaan Morbiditi dan Kesihatan (NHMS) 2023 menunjukkan hampir 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
Obesiti dikaitkan dengan lebih 200 potensi komplikasi kesihatan, termasuk diabetes tahap 2 dan penyakit kardiovaskular, yang memberi kesan besar kepada kualiti hidup dan jangka hayat.
Sementara itu, Dr. Siew Pheng berkata, stereotaip obesiti hanyalah isu gaya hidup perlu dibendung kerana ia membuatkan individu menyalahkan diri sendiri.
Katanya, proses penurunan berat badan menyebabkan perubahan metabolik yang kadang-kala meningkatkan berat semula.
Justeru pendekatan multidisiplin melibatkan doktor, pakar pemakanan, jururawat, ahli fisioterapi dan pakar kesihatan mental amat penting.
Katanya, gabungan rawatan ubat-ubatan bersama diet dan gaya hidup diperibadikan dapat meningkatkan keberkesanan rawatan, sambil menyokong individu dalam perjalanan kesihatan mereka ke arah kehidupan lebih sihat dan berkualiti. – UTUSAN










