KUALA TERENGGANU: Lima muka baharu menjadi taruhan pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG) bagi mengharungi cabaran musim 2026.
TSG turut mengekalkan 10 pelumba sedia ada bagi mengharungi kira-kira 30 perlumbaan sepanjang musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd. Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, muka-muka baharu melibatkan empat pelumba import dan seorang pelumba tempatan yang dinaikkan daripada Akademi Berbasikal TSG ke skuad elit.
Katanya, pelumba tempatan itu ialah Muhammad Qayyim Mohd Saipul Anuwai manakala tonggak import terdiri daripada Zeb Kyffin (Great Britain), Juan Pedro Lozano Navarro (Sepanyol), Pierre Barbier (Belanda) dan Fergus Browning (Australia).
“Pemilihan pelumba dibuat berdasarkan kepakaran, reputasi dan pencapaian masing-masing di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya pada Majlis Memperkenalkan Pasukan TSG 2026 di sini, hari ini.
Tujuh pelumba tempatan yang disenaraikan ialah Nur Amirul Fakhruddin Marzuki, Wan Abdul Rahman Hamdan, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim, Kee Zhe Yie, Muhammad Nur Rosli dan Muhammad Haizam Mohd Shabri.
Katanya, TSG turut mengekalkan tiga pelumba import iaitu Adne Willemjan Van Engelen (Belanda), Mathias Bjorn Bregnhoj (Denmark) dan Vadim Denisovich Pronskiy (Kazakhstan).
Bagaimanapun, beberapa pelumba digugurkan daripada skuad termasuk Zuladri Amin Zulkurnain, Metkel Eyob, Anatolii Budiak dan Aiman Cahyadi manakala Mohd Harrif Salleh bersara selepas 15 tahun bersama pasukan itu.
Dalam perkembangan sama, Che Ku Mohd Izmuddin memaklumkan TSG menamatkan musim 2025 di tempat ketiga pasukan terbaik Asia, kelima terbaik benua dan ke-37 daripada 206 pasukan bertaraf dunia.
Bagi musim 2026, beliau berkata pasukan menyasarkan untuk merampas kembali status selaku pasukan terbaik Asia, berada dalam kelompok tiga terbaik benua serta meraih podium pada LTdL yang berstatus Pro 2.0. – UTUSAN











