KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM14,000 terhadap seorang bekas ejen insurans yang menipu ketika membuat pinjaman bank berjumlah RM150,000, lapan tahun lalu.
Hakim, Norma Ismail memutuskan hukuman itu terhadap Ahmad Nadzri Ab Razak, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu bagi melakukan kesalahan tersebut.
Norma turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar penalti itu.
Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Nadzri didakwa telah menipu sebuah bank bagi tujuan membuat permohonan pinjaman khas yang ditawarkan kepada pekerja Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk meluluskan pinjaman berjumlah RM150,000.
Bagi pertuduhan kedua, bapa tiga anak itu telah menipu dengan menggunakan dokumen palsu melibatkan penyata gaji, penyata akaun bank dan surat pengesahan majikan serta pas pekerja.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Wangsa Maju, di sini antara pukul 8 dan 5 petang, antara 1 September dan 31 Oktober 2018.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan pegawai bank telah membuat laporan polis selepas menerima aduan daripada seorang kakitangan LHDN pada 24 Jun 2020 yang menerima surat yang dialamatkan kepada individu yang tidak bekerja di LHDN.
Hasil siasatan pihak bank mendapati Ahmad Nadzri yang bukan kakitangan LHDN telah menipu pihak bank untuk mendapatkan pinjaman RM150,000 dan kelulusan pinjaman yang dimohon tertuduh.
Tertuduh telah menggunakan dokumen palsu seperti surat pengesahan majikan, penyata gaji, pas pekerja, borang cukai pendapatan dan penyata akaun bank yang disertakan kepada pihak bank.
Lelaki itu telah ditangkap pada 20 November 2023, dan hasil siasatan pihak polis mendapati tertuduh seorang yang disenarai hitam bagi membuat pinjaman. – UTUSAN







