KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa minggu depan adalah langkah berprinsip bagi memastikan garis merah UMNO tidak dilanggar oleh mana-mana pihak dalam kerajaan perpaduan.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Akmal menegaskan bahawa dirinya akur dengan keputusan parti untuk terus bersama kerajaan perpaduan demi memastikan kestabilan politik negara.
Bagaimanapun beliau berkata, Akmal menyatakan hasrat untuk memainkan peranan secara aktif bagi memastikan prinsip serta garis merah UMNO tidak dilanggar oleh mana-mana pihak dalam kerajaan perpaduan.
“Jadi, saya berpandangan apa yang dilakukan oleh Akmal hari ini adalah satu tindakan yang sangat berprinsip.
“Dia kata, ok, tak apa, kita akur bahawa kita terus menyokong kerajaan yang sedia ada. Tetapi pada masa yang sama, apa yang patut dibuat perlu dibuat. Jadi, dia ambil keputusan bahawa Pemuda dan dia sendiri akan buat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pengamal media selepas mendengar ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2025, hari ini. – UTUSAN










