Toleransi terhadap rasuah musnah integriti negara

Toleransi terhadap rasuah musnah integriti negara

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Istiadat Kawalan Kehormat Utama, berlangsung di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah sempena Hari Keputeraan Ke-78 baginda semalam. – PEJABAT MB NEGERI SEMBILAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Integriti nega­ra akan musnah jika rakyat me­ngambil sikap bertole­ransi dan menyokong pelaku rasuah, titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Baginda yang kecewa de­ngan sikap segelintir masyarakat yang seolah-olah cuba menormali­sasikan perbuatan tidak bermo­ral itu bertitah, ia juga turut melunturkan sifat amanah dan menjejaskan keadilan.

Titah baginda, sikap sedemikian meruntuhkan integriti institusi dan asas moral kerana gagal memahami bahaya rasuah yang menuntut peni­laian lebih mendalam terhadap akidah, prinsip hidup dan nilai pega­ngan diri.

Baginda menegaskan, perbuatan sedemikian adalah musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara.

“Beta amat terperanjat dan ke­­cewa apabila masih wujud pihak yang terus memberikan soko­ngan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah yang amat besar.

“Seolah-olah perbuatan ter­sebut boleh diterima dan dimaafkan. Sehubungan itu, beta menyeru kepada mereka yang masih menyokong penjenayah seperti ini, segera bermuhasabah diri serta menilai semula pendirian dan kepercayaan ma­sing-masing.

“Ini kerana sebarang bentuk toleransi atau kompromi terhadap rasuah adalah bertentangan dengan prinsip kebenaran, keadilan serta amanah dan sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pi­ngat sempena Hari Keputeraan Ke-78 baginda di Istana Besar Seri Menanti di sini semalam.

Tuanku Muhriz juga bertitah agar usaha menangani kos sara hidup perlu terus diperkukuh supaya tiada rakyat tercicir, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pencapaian mengurangkan kemiskinan tegar wajar diperkasakan melalui bantuan bersasar, kawalan harga, jaminan makanan serta peningkatan peluang pendapatan secara tersusun,” titah baginda.

Baginda juga bertitah kerajaan hendaklah mempergiatkan penyediaan kemudahan kesihatan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

“Beta menyambut baik cadangan naik taraf dan perluasan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi meningkatkan kapasiti dan mutu perkhidmatan.

“Beta juga berharap pembinaan Hospital Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dapat dipertimbangkan dengan teliti kerana ia berpotensi memperkukuh perkhidmatan kesihatan negeri,” titah baginda.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin ketika sembah ucapan tahniah dan taat setia berkata, Negeri Sembilan dijangka mampu meningkat kemasukan pelaburan bernilai RM8 bilion pada tahun ini.

Katanya, ia sekali gus mencerminkan pertumbuhan berterusan dan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negeri untuk rakyat.

“Sungguh demikian, me­nuju Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Negeri Sembilan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan lagi daya saing ekonomi negeri.

“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini secara mampan dan inklusif, dengan memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama yang berpotensi untuk merancakkan pertumbuhan eko­nomi negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×