Perubatan bomoh masih dipercayai masyarakat Melayu

Perubatan bomoh masih dipercayai masyarakat Melayu

UMAT Islam perlu memahami dan menjauhi amalan perbomohan agar tidak mensyirikkan Allah SWT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI alam Melayu, aktiviti perbomohan merupakan elemen mistik yang menjadi warisan tradisi masyarakat Melayu hingga kini. Tradisi ini berakar umbi dalam sistem kepercayaan orang Melayu, khususnya bagi mereka yang masih percaya kepada unsur ghaib mempengaruhi kehidupan manusia. Namun, tradisi ini turut berubah mengikut zaman dan arus moden.

Sebenarnya, perbomohan bukan sahaja wujud dalam masyarakat Melayu, malah hampir semua etnik di Malaysia mempunyai sistem perubatan tradisional masing-masing, termasuk unsur mistik.

Hari ini, perubatan tradisional diarusperdanakan sebagai perubatan alternatif, terutamanya dalam bentuk perubatan Islam bagi masyarakat Melayu. Amalan perbomohan masih mendapat perhatian ramai walaupun menimbulkan pelbagai isu.

Tradisi perbomohan sering dikaitkan dengan penyakit misteri atau masalah ghaib seperti gangguan jin, sihir, santau, nasib malang atau kemalangan hidup. Khidmat bomoh bukan sahaja dicari oleh mereka yang sakit, malah golongan yang menghadapi masalah perniagaan, politik, keberuntungan atau ingin meningkatkan kedudukan sosial.

Niat pesakit menentukan jenis rawatan, ada yang bersifat baik, ada pula jahat seperti menyihir orang lain. Bomoh moden menggunakan pendekatan lebih liberal, menggabungkan istilah psikologi, ‘feng shui’ atau alat tertentu seperti batu, ikan sirip emas atau tangkal untuk meyakinkan pesakit.

Bomoh tradisional pula mengekalkan unsur ritual klasik seperti kemenyan, limau, bunga, pakaian tertentu, jampi serapah dan khidmat makhluk ghaib.

Walau bagaimanapun, amalan perbomohan mengundang risiko syirik, terutama bagi umat Islam. Mengaitkan makhluk ghaib sebagai penyebab penyakit atau masalah boleh menyeret pengamalnya ke lembah kesyirikan.’

Allah SWT menegaskan dalam Surah An-Nisa’, ayat 48 bahawa syirik adalah dosa besar yang tidak diampunkan.

Perbomohan masih hidup dalam masyarakat Melayu, walaupun dipenuhi tahyul, khurafat dan karut-marut.

Umat Islam perlu memahami dan menjauhi amalan ini agar tidak mensyirikkan Allah SWT.

Tradisi ini sepatutnya dihargai sebagai warisan budaya namun perlulah diselaraskan dengan ilmu yang benar dan akidah supaya warisan itu tidak menjerumuskan ke arah dosa ataupun penyelewengan ajaran agama.-UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×