Kurang 10 sen pun kena maklum KPM

Kurang 10 sen pun kena maklum KPM

FADHLINA Sidek menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan kepada Auni Humairaa Mohamad Faiza di SMK Tun Syed Sheh Barakbah di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Ibu bapa yang tidak menerima bayaran penuh Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diminta memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius isu itu walaupun peringatan yang sama telah diberikan saban tahun.

“Bayaran RM150 ini hanya untuk Bantuan Awal Persekolahan dan ia mesti diserahkan dengan jumlah RM150.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, kalau ada ibu bapa yang tak terima RM150, kurang 10 sen ke, kurang RM1, dia kena beritahu pada kitalah (KPM) kerana jumlah itu tidak boleh berkura­ngan. Mesti RM150,” katanya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah di Sungai Bakap semalam.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan peruntukan BAP sebanyak RM34.12 juta kepada Jabatan Pendidikan Ne­geri Pulau Pinang (JPNPP) untuk diagihkan kepada lebih 227,000 murid dan pelajar di seluruh negeri ini.

Fadhlina turut meminta agar mana-mana sekolah yang belum menyerahkan BAP kepada murid dan pelajar supaya segera berbuat demikian.

Katanya, ketika ini, semua sekolah di bawah KPM telah menerima peruntukan bagi tujuan tersebut dan ia mesti diagihkan secepat mungkin bagi memudahkan urusan ibu bapa serta penjaga yang terlibat.

“Kalau boleh, kita harap semua urusan itu (penyerahan BAP) akan selesai dalam minggu ini juga,” ujar beliau.

Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya menjangka semua pihak yang berkepenti­ngan termasuk pemegang taruh serta ibu bapa yang terlibat akan menandatangani Polisi Perlin­dungan Murid atau CPP pada minggu hadapan.

“Minggu ini kita bagi peluang dulu kerana sekolah baru sahaja dibuka. Jadi, saya ingat, mungkin minggu depan, kita dah boleh pastikan semua yang terlibat berbuat demikian (menandatangani polisi berkaitan).

“Untuk pengetahuan, polisi ini bukan sahaja akan melin­dungi kanak-kanak (termasuk murid) dari segi buli, tetapi juga gangguan seksual, apa-apa penderaan dan isu-isu yang terkait rapat dengan kesihatan mental. Semuanya terangkum dalam CPP itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×